Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM DEDAH PUSAT PENYEMBELIHAN DI AUSTRALIA TIDAK IKUT CARA ISLAM – SWATV MEDIA – 10/05/2022
12 May 2022

KUALA LUMPUR: Isu pusat penyembelihan di Australia yang menimbulkan keraguan ramai pihak, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas) dan Sahaba 99 hari ini (10 Mei) mengadakan sidang media mendedahkan tatacara penyembelihan yang dilakukan tidak mengikuti cara Islam.

Ketua Aktivitis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya telah menerima banyak aduan berkaitan pelanggaran protokol penyembelihan yang digariskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Datuk Nadzim pada masa sama turut menggesa pihak JAKIM agar menyediakan satu sistem yang lengkap mengenai pusat penyembelih agar tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan pengguna.

“Kita harap pihak JAKIM menyediakan satu sistem untuk rujukan pengguna. Kita mahukan laluan yang jelas seperti imbas qr code dan di situ kita boleh lihat siapa penyembelihnya dan sebagainya.

“Ini sistem simple. Saya tidak pasti kenapa JAKIM tidak meneliti cadangan yang ada,” katanya ketika sidang media.

Sidang media yang diadakan dihadiri oleh Presiden Pekemas, Faizan Mohd Noor (kanan), Ketua Aktivitis PPIM, Datuk Nadzim (tengah) serta aktivis PPIM, Vince Focarelli (kiri)

Dalam sidang media sama, Datuk Nadzim turut menggesa agar siasatan menyeluruh dilakukan dengan kadar segera oleh pihak berautoriti termasuk JAKIM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis serta merombak struktur organisasi bahagian halal terutama jawatan panas.

“Kita sudah merdeka lebih 60 tahun, takkan kita nak tengok isu seperti ini berlaku setiap tahun. PPIM menerima banyak aduan mengenai isu ini, sebelum ini kartel daging, kali ini pusat sembelihan pula,” tambahnya.

Sementara itu, Faizan Mohd Noor, Presiden Pekemas, mendedahkan terdapat dua (2) keadaan yang meyakinkan bahawa tatacara penyembelihan yang dilakukan sama sekali tidak mengikut cara Islam.

“Binatang tersebut tidak mati disebabkan oleh penyembelihan. Malah ia mati disebabkan lemas dalam gumpalan darah.

“Yang kedua, kawasan penyembelihan tersebut agak terbuka. Di situ terdapat anjing liar dan terdapat haiwan-haiwan sembelihan tersebut telah mati disebabkan digigit anjing liar,” katanya pada sidang media.

Pada 14 April lalu, Jakim dalam satu kenyataan berhubung isu berkenaan berkata, pihaknya sudah meminta penjelasan daripada Supreme Islamic Council of Halal Meat In Australia Inc (SICHMA) dan mendapati pusat sembelihan berkenaan mematuhi keperluan standard penyembelihan halal di negara ini.

SICHMA kemudiannya memberikan penjelasan dan menafikan dakwaan ketidakupayaan organisasi itu dalam membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan di bawah seliaan mereka.

Artikel oleh: SWATV Media

PPIM DEDAH PUSAT PENYEMBELIHAN DI AUSTRALIA TIDAK IKUT CARA ISLAM

https://www.swatv.my/infoswatv/ppim-dedah-pusat-penyembelihan-di-australia-tidak-ikut-cara-islam/