Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PUB, KELAB MALAM DIBENARKAN KEMBALI BEROPERASI: UMAT ISLAM PERLU DILARANG MASUK – HARAKAH DAILY – 13/05/2022
19 May 2022

KUALA LUMPUR: Pub dan kelab malam berlesen tidak mendatangkan faedah yang besar kepada negara dan tiada sebab kenapa ia perlu dibuka semula kepada orang ramai, khususnya kepada umat Islam yang seharusnya dilarang atau sama sekali tidak dibenarkan masuk ke situ.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pub dan kelab malam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini bakal dibuka semula berkuatkuasa esok Sabtu, 14 Mei, selepas ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19, tidak mendatangkan manfaat kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Apa keperluan penting untuk membuka semula kelab malam dan pub? Hal ini demikian kerana ia membuka ruang kepada orang Islam untuk mengambil kesempatan.

“Pada pandangan saya, sebenarnya tidak perlu digalakkan agar pub dan kelab malam kembali beroperasi di negara ini seolah-olah ia seperti galakan kepada mereka yang memang menantikan pub dan kelab malam dibuka semula,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Menurutnya, sekiranya pub dan kelab malam perlu juga dibuka, penguatkuasaan yang tegas perlu dilaksanakan khususnya terhadap umat Islam.

“Kalau mahu buka  juga (pub dan kelab malam), terpulanglah tetapi syaratnya orang Islam hendaklah dilarang masuk ke situ,” ujarnya. 

Datuk Nadzim Johan

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya orang Islam melanggar syarat tersebut, maka tanggungjawab hendaklah diserahkan kepada pemilik kelab atau pub terbabit yang sewajarnya perlu dikenakan hukuman denda maksimum sebagaimana denda untuk kes melanggar peraturan Covid-19 sebelum ini yang turut dikenakan denda yang tinggi.

Sementara itu, Ketua Program Psikologi, Jabatan Pendidikan & Psikologi, Fakulti Pengurusan, Pendidikan & Kemanusiaan, Kolej Universiti Antarabangsa PICOMS, Dr Anizah Mohamed pula berkata, pembukaan semula pub dan kelab malam berlesen di negara ini langsung tiada keperluan.

Menurutnya, kerajaan seharusnya perlu bijak dalam menangani perkara tersebut. Jika kerajaan ingin terus menutup operasi ini,  ujar Dr Anizah, ia mungkin usaha yang tidak berhasil kerana pastinya akan wujud campur tangan dan tentangan lagipun perniagaan pub dan kelab malam ini sudah lama beroperasi di Malaysia.

“Pada pendapat peribadi saya sebagai seorang Muslim, sememangnya saya tidak bersetuju pub dan kelab malam dibenarkan kembali beroperasi di negara ini. 

Dr Anizah Mohamed

“Justeru, saya sarankan kepada kerajaan agar boleh mula  mengecilkan pengoperasian perniagaan ini dan ia dimulakan dengan undang-undang terhadap umat Islam,” tegasnya. 

Katanya lagi, larangan dan hukuman perlu dikuatkuasakan kepada umat Islam yang memasuki pub dan kelab malam berlesen tersebut.

Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataannya memaklumkan, protokol pengoperasian pusat hiburan itu telah dimuat naik di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) di asset.mkn.gov.my.

“Operasi pub dan kelab malam berlesen yang dikategorikan dalam senarai negatif telah dihentikan operasi selama hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19,” kata kementerian itu.

Menurut kenyataan KPKT itu lagi, setelah mendapat pandangan Kementerian Kesihatan (KKM), KPKT telah mengeluarkan Protokol Pengoperasian Pub dan Kelab Malam Berlesen tersebut sebagai rujukan kepada semua penggiat dalam industri berkaitan.

Susulan itu, KPKT meminta semua penggiat dalam industri pub dan kelab malam berlesen di negara ini dapat mematuhi perkara-perkara penting yang telah digariskan dalam protokol tersebut bagi mengekang penularan kes positif Covid-19 semasa fasa transisi ke fasa endemik ini. 

Sementara itu menerusi poster dikongsi KPKT, protokol tersebut membenarkan kapasiti premis 100 peratus ruang tari. 

Selain itu, pelanggan perlu menjalani ujian kendiri Covid-19 dan premis perlu mempunyai pengudaraan serta ventilasi yang baik.

Artikel oleh: Harakah Daily

PUB, KELAB MALAM DIBENARKAN KEMBALI BEROPERASI: UMAT ISLAM PERLU DILARANG MASUK

https://harakahdaily.net/index.php/2022/05/13/pub-kelab-malam-dibuka-semula-umat-islam-perlu-dilarang-masuk/