PETALING JAYA: Kerajaan digesa menggantung import daging dari semua rumah sembelihan di Australia susulan tiga lagi dikesan melanggar protokol halal.
Penggantungan itu bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dilakukan demi kepentingan umat Islam di negara ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Nor berkata, penggantungan sementara kemasukan daging-daging dari semua rumah sembelihan di negara itu perlu dilakukan sehingga kerajaan selesai menyiasat kesangsian status halal dan pelanggaran protokol sembelihan di semua premis terlibat.
Menurut beliau, dakwaan tiga lagi rumah sembelihan di negara itu yang turut melanggar protokol halal selepas pendedahan membabitkan Thomas Foods International (TFI) mencetuskan kebimbangan dan keraguan dalam kalangan umat Islam di Malaysia berhubung status halal daging yang dibekalkan oleh rumah sembelihan di negara Kangaroo itu.
“Kita minta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) gantung semua tempat penyembelihan di Australia sebab sudah ada unsur-unsur langgar protokol halal.
“Elok gantung semua sebab ini sudah melibatkan hukum, jika pusat yang didedahkan hari ini (semalam), TFI (yang diakui) langgar protokol halal, maka ada keraguan daging (dari sana) 100 peratus tak halal.
“Jadi kita tidak perlu mempertahankan integriti rumah sembelihan yang lain dan kalau boleh Jakim perlu buat satu kenyataan menggantung kesemua pusat sembelihan yang ada di Australia,” katanya ketika dihubungi semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, tiga lagi rumah sembelihan di Queensland dikesan melanggar protokol halal sembelihan Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA).
Penemuan itu disahkan oleh seorang wakil organisasi halal antarabangsa di Filipina yang mahu dikenali sebagai Amin semasa membuat pemeriksaan mengejut di ketiga-tiga rumah sembelihan tersebut.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan penggantung sementara pengimportan diberikan kepada TFI Lobethal, Australia sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh berhubung kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal pusat penyembelihan itu.
Pematuhan halal
Mengulas lanjut, Faizan berkata, isu berkaitan pematuhan halal rumah sembelihan di negara bukan Islam perlu diambil serius bagi terus mengelakkan keraguan dalam kalangan umat Islam di negara ini.
Katanya, perkara itu tidak boleh terus dibiarkan berlarutan dengan lama kerana jika berlaku begitu ia memperlihatkan umat Islam seperti terus dipermainkan.
“Australia bukan sebuah negara Islam, pematuhan tak ada dan pusat (TFI) jelas melanggar protokol halal. Jadi semua dah jelas dan sudah dibongkarkan sejak 14 April lagi.
“Walaupun saya tak dapat bawa isu integriti pegawai Jakim, tetapi isu langgar protokol halal sudah terbukti.
“Saya sebagai umat Islam perlu lakukan sesuatu jadi sementara siasatan dijalankan, kita gantung semua pusat sembelihan di sana. Kalau kita masih lagi tutup sebelah mata, saya tak tahu apa yang berlaku akan datang,” jelasnya.
Memantau
Dalam pada itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, satu sistem secara menyeluruh perlu diwujudkan bagi membolehkan agensi yang bertanggungjawab memantau rumah sembelihan di luar negara berkaitan pematuhan halal.
Katanya, penggantungan sementara sahaja tidak cukup untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kerana isu yang sama boleh berlaku di tempat mahupun rumah sembelihan lain.
“Sistem menyeluruh perlu merangkumi sistem semakan, sistem pemantauan dan sistem untuk ambil tahu kerja mereka. “Benda ini tak akan selesai, gantung tu selesai masalah ke? (gantung) satu tempat, tetapi tempat lain?” jelasnya.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
SIASAT DAGING AUSTRALIA
https://www.utusan.com.my/nasional/komuniti/2022/05/siasat-daging-australia/