Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM, CRESCENT DIGITAL LANCAR APLIKASI YAKIN PERKASA USAHAWAN, PENGGUNA ISLAM ERA DIGITAL – DAGANG NEWS – 16/06/2022
24 Jun 2022

KUALA LUMPUR 16 Jun – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkolaborasi dengan Crescent Digital Sdn Bhd (Crescent Digital) untuk membangunkan dan mengendalikan aplikasi mudah alih rasmi dalam talian PPIM yang dikenali sebagai YAKIN.

Menerusi aplikasi YAKIN yang sudah pun sedia untuk dimuat turun secara percuma, pengguna-pengguna boleh menjadikan aplikasi YAKIN sebagai ‘one stop centre’ untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan oleh PPIM.

Perkhidmatan itu melibatkan aduan hal ehwal pengguna, bantuan mangsa ah long atau ceti haram, sumbangan derma kepada saluran sahih dan berdaftar serta sebagai informasi paling terkini PPIM dari telefon pintar pengguna.

Turut disediakan dalam Modul lbadah aplikasi tersebut adalah waktu solat, kiblat, doa harian, tasbih dan pelbagai lagi.

Dalam pada itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, beliau mengalu-alukan inovasi ke arah digital dari PPIM dan Crescent Digital.

“Inisiatif untuk membina aplikasi ini dalam Bahasa Melayu adalah langkah yang sangat tepat demi memartabatkan bahasa tersebut sebagai bahasa kebangsaan.

“PPIM juga mempunyai jumlah pengikut media sosial yang ramai dalam kalangan masyarakat Muslim di Malaysia iaitu lebih daripada 1.5 juta orang merentasi 5 platform media sosial. Justeru, aplikasi YAKIN berkemampuan menjadi aplikasi gaya hidup Muslim tempatan yang utama dan paling komprehensif bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini,” katanya selepas pelancaran aplikasi itu.

Presiden dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan pula berkata, aplikasi itu bukan sahaja menyasarkan pengguna, malah dibangunkan dengan matlamat untuk membantu perniagaan-perniagaan yang ingin mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka secara khusus dan efisien kepada kumpulan pengguna Islam dan bukan Islam.

“Perlu juga ditegaskan bahawa kempen-kempen derma yang terdapat di dalam aplikasi YAKIN telah disemak dan disahkan terlebih dahulu oleh pihak kami.

“Bagi pihak PPIM, kami yakin bahawa aplikasi ini dapat memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia bersesuaian dengan misi PPIM sendiri iaitu melaksanakan tuntutan fardhu kifayah yang membabitkan kepentingan pengguna dan perniagaan Islam melalui tindakan proaktif dan berstrategi: katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Crescent Digital, Nina Alyssa Zainal berkata, kolaborasi PPIM bersama pihaknya yang menyediakan khidmat transformasi digital dengan tumpuan khusus pada ekonomi digital Islam adalah amat tepat.

“Selain daripada ciri-ciri yang telah disebutkan, kami juga sedang merancang untuk memperkenalkan pelbagai lagi fitur di dalam aplikasi YAKIN merangkumi direktori perniagaan Islam, direktori scammers, tinjauan atau survey, e-Dagang dan lain-lain di fasa akan datang,” katanya.

Aplikasi YAKIN dimuat turun secara percuma di Google Play Store, App Store dan Huawei AppGallery untuk semua telefon pintar Android dan iPhone. – DagangNews.com

Artikel oleh: DagangNews

PPIM, CRESCENT DIGITAL LANCAR APLIKASI YAKIN PERKASA USAHAWAN, PENGGUNA ISLAM ERA DIGITAL

https://www.dagangnews.com/ppim-crescent-digital-lancar-aplikasi-yakin-perkasa-usahawan-pengguna-islam-era-digital-16383