KUALA LUMPUR: Sistem Pengesanan Maklumat Pelarian atau Tracking Refugees Information System (TRIS) tidak sepatutnya menjadi isu polemik yang ditimbulkan pihak tertentu.
Ini kerana, TRIS yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini, dipercayai mampu membantu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menguruskan pelarian dengan lebih sistematik berdasarkan ciri keselamatan dan pengesahan identiti berteknologi tinggi.
Pelarian berkenaan di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Justeru, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menempelak pihak yang menentang keputusan kerajaan itu.
Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, pihak Beyond Borders dan Alliance of The Chin Refugees mendakwa pelaksanaan TRIS adalah tidak berperikemanusiaan dan mencerobohi hak pelarian.
“Sebagai sebuah negara berdaulat, kerajaan Malaysia mempunyai segala hak untuk mengetahui pergerakan semua individu selama mereka bertaraf pelarian di negara ini.
“Pertubuhan-pertubuhan ini tidak wajar untuk mempersoalkan tindakan kerajaan yang menjaga kepentingan semua pihak,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Malah katanya, PPIM menyambut baik pelaksanaan TRIS yang membantu pelarian UNCHR bergerak bebas tanpa perlu lagi khuatir diugut atau ditahan atas pelbagai alasan.
Ia berikutan, katanya, sistem berkenaan mempunyai ciri keselamatan dengan kaedah pengecaman wajah dan pengesahan identiti sekali gus mengelak daripada percubaan untuk memperdaya pihak berkuasa.
“Penggunaan sistem ini akan membolehkan kerajaan mengumpul maklumat pengenalan diri, keluarga, kesihatan, kebolehan, kemahiran, tempat tinggal.
“Mereka juga boleh memperolehi lesen menunggang motosikal dan memandu kenderaan dengan selain berpeluang untuk mencari rezeki di sini,” katanya.
Katanya, pelarian UNHCR yang berdaftar juga dapat membuka akaun bank sendiri, menyertai skim insuran dan takaful berdaftar untuk mendapatkan perlindungan yang sewajarnya.
“TRIS juga memudahkan mereka untuk keluar ke negara ketiga atau negara asal apabila keadaan mengizinkan dengan lebih tersusun kerana semua maklumat tentang mereka ada dalam sistem data kerajaan,” katanya.
Kesimpulannya, sistem berkenaan dapat memudahkan lagi negara menyelesaikan beberapa isu yang menekan kini seperti kekurangan tenaga kerja dalam beberapa sektor seperti perladangan, pembuatan dan pembinaan.
Artikel oleh: Media Variasi
PPIM SELAR NGO PERTIKAI PELAKSANAAN TRIS
https://mediavariasi.com/2022/07/ppim-selar-ngo-pertikai-pelaksanaan-tris/