PETALING JAYA – Pihak bank didesak supaya membayar semula ganti rugi kepada pelanggan apabila berlaku kes kehilangan wang simpanan yang berpunca daripada kelemahan sistem sekuriti perbankan.
Gesaan yang dibuat oleh beberapa persatuan pengguna itu juga menuntut supaya Bank Negara Malaysia (BNM) menubuhkan pasukan khas untuk melakukan siasatan terhadap pihak bank yang terlibat.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pihak bank tidak boleh lepas tangan dan menyalahkan pelanggan semata-mata apabila scammer atau penggodam ‘merompak’ duit pendeposit dalam akaun mereka.
“Selama ini orang ramai menaruh kepercayaan bahawa wang mereka selamat disimpan di dalam bank, tetapi apabila berlaku kelemahan dalam sistem sekuriti perbankan, pihak berkenaan perlulah bertanggungjawab.
“Perlu ada siasatan dan ketelusan sama ada kehilangan wang pelanggan disebabkan kecuaian sistem keselamatan. Kalau betul, bank wajib bertanggungjawab untuk pulangkan semula duit pelanggan.
“Tidak boleh terus mengeluarkan kenyataan bahawa kehilangan wang bukan kesalahan bank, sebaliknya pelanggan pula yang didakwa menyebabkan maklumat mereka dicuri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Yusof menegaskan, siasatan kes kehilangan wang pendeposit tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada bank terlibat atau pihak berkuasa lain, sebaliknya ada pihak seperti Bank Negara Malaysia (BNM) yang turut melakukan siasatan.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, BNM perlu mengkaji semula perihal kebertanggungjawaban bank komersial terhadap isu kehilangan wang pelanggan yang semakin kerap berlaku.
Tegas beliau, pihak bank tidak boleh lepas tangan, sebaliknya perlu bertanggungjawab di atas sebarang bentuk kerugian yang dialami pelanggan mereka.
“Keadaan hari ini cukup merungsingkan, kena perlu segera berubah. Lama-kelamaan yang kena adalah pengguna. Sukar pengguna hendak melawan dengan kuasa yang amat besar ini dalam menuntut hak mereka.
“BNM kena ambil tindakan bersungguh-sungguh supaya bank-bank akan lebih menghormati etika perbankan dan juga ada sifat kemanusiaan,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, Pakar Perunding Perubatan, Dr. Rafidah Abdullah kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap CIMB setelah wang simpanan sebanyak RM13,000 hilang dalam akaun banknya itu.
Dr. Rafidah mendakwa, kehilangan wang simpanannya itu berlaku pada pukul 2 pagi, 19 Ogos lalu menerusi tiga transaksi yang mencurigakan.
Beliau mendakwa tidak menyedari tiga transaksi tersebut kerana tidak menerima nombor Kod Kebenaran Transaksi (TAC) daripada pihak bank.
Sementara itu, CIMB Bank dalam satu kenyataan pula menyarankan agar pelanggan sentiasa berwaspada dan memainkan peranan mereka dalam melindungi diri daripada jenayah siber.
“Jangan kongsi butiran peribadi, TAC atau kata laluan dengan sesiapa sahaja atau masukkan butiran tersebut pada mana-mana laman web selain daripada CIMB Clicks,” kata CIMB.
Artikel oleh: Kosmo
BANK TAK BOLEH LEPAS TANGAN, WAJIB PULANGKAN DUIT PELANGGAN
https://www.kosmo.com.my/2022/08/23/bank-tak-boleh-lepas-tangan-wajib-pulangkan-duit-pelanggan/