Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
GULA-GULA ‘SOFT CANDY WITH JAM’ TIDAK HALAL – THE MERDEKA TIMES – 14/09/2022
17 Sep 2022

  • Tular di media sosial mengenai dakwaan sebuah produk ‘Soft Candy With Jam’ mengandungi kandungan ‘Pork Gelatine’ pada label pembungkusan produk walaupun ada logo halal. 
  • JAKIM tampil membuat kenyataan dan mendakwa bahawa logo produk terbabit tidak mendapat pengiktirafan JAKIM.
  • Penggunaan logo halal terbabit adalah menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan yang berkaitan di negara ini. 
  • “Pengguna Muslim dinasihatkan untuk tidak memilih produk berkenaan dan meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk sebelum melakukan sebarang pembelian dan transaksi,” – JAKIM.

KUALA LUMPUR –  Baru-baru ini tular di media sosial berkenaan status halal produk ‘Soft Candy With Jam’ yang didakwa mempunyai kandungan ramuan tidak halal iaitu pork Gelatine (gelatin babi) pada label pembungkusan produk walaupun tertera logo halal di bungkusan itu. 

Bagi menjawab persoalan ramai mengenai status halal produk terbabit, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tampil membuat kenyataan bagi membuat penjelasan berkenaan produk itu. 

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hab Halal, JAKIM, produk itu telah menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf oleh JAKIM dan penggunaan logo halal terbabit adalah menyalahi Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dikenakan tindakan melalui peruntukan perundangan yang berkaitan di negara ini. 

“Pada produk tersebut juga tertera logo Halal Food Council International Malaysia & Asia Region dan ia telah mengundang keresahan dan salah faham masyarakat terhadap pensijilan halal Malaysia.

“Pengguna Muslim dinasihatkan untuk tidak memilih produk berkenaan dan meneliti terlebih dahulu label bungkusan produk sebelum melakukan sebarang pembelian dan transaksi,” katanya menurut kenyataan di Facebook.

Pihak JAKIM juga menasihatkan sekiranya pengguna menjumpai produk tersebut di pasaran, adalah dinasihatkan untuk mengemukakan aduan lengkap dan salurkannya kepada pihak berkuasa atau JAKIM. 

Dalam pada itu,  Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut menggesa orang ramai untuk terus berhati-hati apabila melihat logo halal. 

“Sebagai pengguna haruslah kita berhati-hati biarpun ada produk menunjukkan logo halal, ini kerana ada golongan yang menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf JAKIM, oleh itu boleh jadi ada unsur-unsur keraguan tentang halal haram produk yang menggunakan logo halal yang tidak sah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook. 

Sumber: Facebook Jakim & PPIM 

Artikel oleh: The Merdeka Times

GULA-GULA ‘SOFT CANDY WITH JAM’ TIDAK HALAL

https://themerdekatimes.com/news/2022/09/gula-gula-soft-candy-with-jam-tidak-halal/