Pada Oktober setiap tahun, negara mula memasuki fasa bulan kesiapsiagaan negara (BKN) yang dilancarkan sejak 2016.
Program tersebut perlu diteruskan sebagai langkah persediaan awal untuk hadapi bencana alam khususnya banjir yang sering melanda negara pada suku terakhir setiap tahun.
Menyedari perkara ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dengan kerjasama Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil telah mengambil inisiatif untuk memberi pendedahan awal kepada rakyat serta turut membincangkan langkahlangkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan dalam menghadapi situasi bencana alam ini.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan @ Toqqi berkata, kerajaan perlu menyediakan senarai semak berkenaan keperluan makanan dan bantuan-bantuan khas lain yang sesuai dengan pelbagai kemungkinan bencana.
“Hal ini bertujuan untuk memudahkan pihak kerajaan memantau segala keperluan yang diperlukan oleh rakyat terutamanya ketika berdepan dengan situasi bencana banjir, selain membantu pihak sukarelawan dan NGO seperti PPIM menyusun strategi bagi menghulurkan bantuan,” katanya.
Setiap tahun, PPIM melalui Unit Kebajikan PPIM mengagihkan lebih 100,000 ribu kotak bantuan berbentuk makanan dan barang keperluan.
“Setelah kita lihat pada tahun lepas, masih ramai penjawat awam yang bertanggungjawab membuat keputusan dalam waktu kritikal memilih untuk bercuti berbanding dengan turun padang bagi membantu rakyat yang dalam kesusahan. Oleh itu Perdana Menteri perlu meneliti semula perkara ini,” katanya.
Selain itu, Nadzim turut berpendapat rakyat juga perlu bersedia lebih awal dan menyimpan segala dokumen penting ditempat selamat dan menyediakan keperluan kecemasan secukupnya.
“Setiap keluarga perlu sediakan pelan tindakan atau ‘action plan’ yang melibatkan rancangan menyelamatkan diri jika berlaku bencana dikawasan mereka,” katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Nadzim berkata rakyat perlu diberi latihan simulasi ketika berdepan dengan bencana banjir dan diberi pendedahan awal terhadap kepentingan menyimpan barang-barang atau dokumen penting sebelum banjir berlaku.
Dalam pada itu, sistem penyelarasan bantuan antara agensi-agensi kerajaan, swasta dan NGO perlu ditambah baik supaya setiap bantuan yang diterima dapat terus disasarkan kepada golongan mengikut penilaian kesan sesuatu bencana itu.
Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, BKN bukan sahaja melibatkan segala persediaan dalam kalangan NGO atau agensi-agensi pertolongan yang lain, malah, rakyat juga turut memainkan peranan penting untuk mempersiapkan diri dan keluarga.
“Kerajaan juga perlu lebih jelas terhadap kepentingan semasa, antaranya dengan penangguhan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan membantu rakyat dan memberi pampasan awal kepada mereka yang terjejas dengan banjir,” katanya.
Tambah beliau, aktiviti penyelenggaraan di kawasan longkang seluruh negara perlu dilakukan segera bagi mengelakkan kejadian longkang tersumbat yang boleh menyebabkan banjir kilat.
“Bukan payung yang perlu disediakan sebelum hujan, tapi cangkul untuk menyelenggara kawasan-kawasan ini”, katanya.