Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
NEGARA PATUT LAKSANA GEG ARAK DAN JUDI, SEBELUM HARAM ROKOK, VAPE – GETARAN – 03/10/2022
04 Oct 2022

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melaksanakan Dasar Generasi Penamat (GEG) bagi arak dan judi terlebih dahulu, sebelum mengharamkan rokok serta vape kepada generasi akan datang.

Menurut Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, pelaksanaan GEG arak dan judi itu juga perlu menggunakan hujah sama dengan pengharaman rokok serta vape, iaitu demi kesihatan rakyat.

“Sebagai sebuah negara Islam, langkah pertama patut dibuat adalah mengharamkan arak dan judi kerana ia ditegah di sisi Islam.

“PPIM sebagai sebuah entiti yang memperjuangkan pengguna Islam di Malaysia juga mahu melihat generasi masa hadapan, beragama Islam terutamanya, tidak kenal apa itu arak dan judi,” katanya menerusi kenyataan.

Nadzim berkata, sebagai negara Islam, sewajarnya aktiviti tidak bermoral, seperti perjudian, kelab malam, rumah urut dan arak tidak patut ada di Malaysia.

“Seeloknya kerajaan haramkan itu terlebih dahulu. Kita tahu, kesemua itu haram di sisi agama Islam, tetapi ia masih ada di negara ini,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berusaha menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di dunia yang melaksanakan GEG, dengan melarang generasi yang lahir pada tahun 2007 untuk membeli, memiliki dan menghisap rokok atau vape.

Namun, tegasnya, adalah janggal bagi sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, mengharamkan rokok dan vape, tetapi tidak arak serta judi.

Susulan itu, beliau berkata, kerajaan harus mengharamkan produk terbabit daripada generasi masa depan.

“Sekiranya ia dilarang mengikut undang-undang sivil menerusi polisi seperti GEG ini, Malaysia menjadi negara Islam dihormati dunia.

“Jika kerajaan melaksanakan GEG bagi arak, judi, kelab malam dan sebagainya, saya yakin ramai rakyat Malaysia akan menyokongnya, tidak kira bangsa serta agama.

“Tujuan utama kerajaan mahu melaksanakan GEG adalah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan mengurangkan penyakit berkaitan rokok dan menjimatkan kos kesihatan negara,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang bertujuan melahirkan GEG, membabitkan golongan individu lahir selepas 1 Januari 2007 dan dijangka berkuat kuasa pada 2025 jika diluluskan.

RUU itu sebagai usaha tepat kerajaan dalam menamatkan tingkah laku berisiko dan memberi perlindungan kepada generasi baharu daripada produk tembakau bagi generasi masa depan. – Getaran, 3 Oktober 2022

Artikel oleh: Getaran

NEGARA PATUT LAKSANA GEG ARAK DAN JUDI, SEBELUM HARAM ROKOK, VAPE

http://NEGARA PATUT LAKSANA GEG ARAK DAN JUDI, SEBELUM HARAM ROKOK, VAPE