KERAJAAN digesa untuk melaksanakan Generational End Game (GEG) kepada arak dan judi terlebih dahulu sebelum mengharamkan rokok serta vape.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, pengharaman arak dan judi melalui GEG itu perlu dilakukan selaras dengan status Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Jelas beliau, arak dan judi juga adalah perkara yang ditegah di sisi agama Islam, termasuk lain-lain agama.
“Demi kesihatan rakyat juga patut digunapakai untuk laksanakan GEG ke atas minuman bergula dan makanan segera.
“PPIM sebagai sebuah entiti yang memperjuangkan pengguna Islam di Malaysia, juga mahu melihat generasi masa hadapan, beragama Islam terutamanya tidak kenal apa itu arak dan judi.
“Kita adalah negara Islam. Sewajarnya aktiviti perjudian, kelab malam, rumah urut, arak dan sebagainya tidak patut ada di negara kita.
“Seeloknya kerajaan haramkan yang itu terlebih dahulu. Kita tahu, kesemua itu haram di sisi agama Islam tetapi ia masih ada di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Nadzim berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha untuk membuatkan negara Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang melaksanakan GEG dengan melarang generasi yang lahir pada tahun 2007 untuk membeli, memiliki dan menghisap rokok ataupun vape.
Begitupun, katanya, adalah janggal bagi sebuah negara yang majoritinya penduduk beragama Islam mengharamkan rokok dan vape tetapi tidak mengharamkan arak dan judi.
“Kita harus haramkan semua ini dari anak-anak masa hadapan. Jika ia dilarang mengikut undang-undang sivil menerusi polisi seperti GEG ini, negara kita akan menjadi negara Islam yang dihormati dunia.
“Jika Kerajaan melaksanakan GEG bagi arak, judi, kelab malam dan sebagainya, saya yakin ramai rakyat Malaysia akan menyokongnya tidak kira bangsa dan agama,”katanya.
Nadzim juga menambah, tujuan utama kerajaan mahu melaksanakan GEG adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan mengurangkan penyakit berkaitan rokok dan juga menjimatkan kos kesihatan negara.
Katanya, hujah yang sama juga perlu digunakan untuk penyakit yang boleh dikaitkan dengan tabiat buruk seperti minuman bergula dan makanan makanan segera.
“Menteri Kesihatan tidak boleh pilih kasih dan hanya tumpukan kepada rokok dan vape sahaja. Malaysia merupakan negara Asia Tenggara paling tinggi kadar obesiti dan penyakit kencing manis.
“Ini disebabkan oleh minuman bergula dan makanan segera dan penyakit yang berkaitan dengan ini juga menyebabkan kos yang tinggi kepada Kerajaan,” ujarnya.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, iaitu Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 20219, terdapat 3.9 juta rakyat Malaysia yang ada penyakit kencing manis.
Kadar itu telah meningkat dari 13.4% dalam tahun 2015 ke 18.3% dalam tahun 2019. Ini bermakna dalam kalangan 5 orang, ada seorang yang ada penyakit kencing manis.
Artikel oleh: UtusanTV
GUNA GEG UNTUK HARAMKAN ARAK DAN JUDI TERLEBIH DAHULU – PPIM
https://utusantv.com/2022/10/04/guna-geg-untuk-haramkan-arak-dan-judi-terlebih-dahulu-ppim/