Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM GESA SIASAT KEJADIAN TANAH RUNTUH TANPA SEBARANG PREJUDIS – KOSMO – 24/12/2022
27 Dec 2022

PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa menyiasat kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali minggu lalu tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya tidak mahu lagi alasan demi alasan diberikan kepada rakyat dan akhirnya kes tersebut sunyi begitu sahaja.

“Sudah banyak kali perkara begini berlaku, yang mengalami kerugian, yang cedera, yang meninggal. Sampai bila baru kerajaan ambil serius perkara ini.

“PPIM percaya pihak kerajaan juga pernah mendapatkan pandangan pakar luar negara berkenaan masalah tanah runtuh ini, namun apakah kesudahannya?” soalnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Nadzim berkata, Malaysia bukan negara miskin dan ia membangun dengan pelbagai teknologi dan kepakaran.

“Untuk perkara seperti ini (tanah runtuh) berlaku amat menyayat hati. Benar tanah runtuh bukan sesuatu yang boleh dijangka, tapi kehilangan nyawa boleh dielakkan.

“Di manakah pihak berwajib yang dipertanggungjawab memastikan keselamatan cerun-cerun negara. Bukankah kita pernah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar,” katanya.

Pada masa sama, Nadzim turut mempersoalkan apa kesudahan terhadap Buku Panduan Penyelenggaraan Cerun untuk orang awam oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 2011.

Jelasnya, apa status garis panduan perancangan pembangunan di kawasan bukit dan tanah tinggi 2010.

“Pelbagai kajian dilakukan, berapa juta duit rakyat sudah dihabiskan, sampai bila nak selindung di belakang birokrasi dan kesilapan orang awam.

“Ambillah tanggungjawab dan bertindak segera sebelum lebih banyak nyawa rakyat yang menjadi korban,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Artikel oleh: Kosmo

PPIM GESA SIASAT KEJADIAN TANAH RUNTUH TANPA SEBARANG PREJUDIS

https://www.kosmo.com.my/2022/12/24/ppim-gesa-siasat-kejadian-tanah-runtuh-tanpa-sebarang-prejudis/