PETALING JAYA – Persatuan pengguna mendedahkan jualan akhir tahun dengan tawaran diskaun yang tinggi hanya satu gimik yang bertujuan untuk melariskan barangan dan menghabiskan stok lama.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, taktik tersebut bertujuan untuk mengaburi mata pengguna terutamanya mereka yang suka membeli-belah pada penghujung tahun.
Menurut beliau, walaupun terdapat sesetengah barangan yang harganya menjunam sehingga paras terendah, namun hakikatnya ia masih berada pada paras harga asal dan penjualnya juga masih mendapat keuntungan.
“Sesetengah penjual akan menaikkan harga barangan dua atau tiga bulan sebelum jualan akhir tahun berlangsung. Selepas itu mereka akan memberi diskaun sehingga lebih 50 peratus pada hujung tahun.
“Apabila kita (persatuan pengguna) menjalankan siasatan, kadang-kadang harga diskaun itu adalah harga sebenar barangan tersebut.
“Taktik itu sudah lama digunakan penjual terutama untuk menghabiskan stok pada penghujung tahun,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas lanjut, Jacob memberitahu, sepanjang tahun ini, secara purata pihaknya menerima lebih 15 aduan dalam sebulan bagi kes penipuan seperti itu.
“Bagaimanapun ada sesetengah aduan itu tidak dapat disiasat kerana kekurangan bukti, misalnya pembeli telah membuang resit asal pembelian atau tidak menyatakan lokasi pembelian dibuat.
“Aduan seperti ini susah untuk kita bantu dan ketengahkan kerana kekurangan bukti. Pihak berkuasa juga sukar untuk mengambil tindakan kepada peniaga,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut mengakui terdapat banyak penipuan berlaku apabila kempen jualan akhir tahun bermula menjelang hujung tahun.
Jelas beliau, kebanyakan peniaga akan mengambil kesempatan ketika ini untuk melariskan jualan dan menghabiskan stok lama sebelum tiba tahun baharu.
“Bagi mengelakkan menanggung kerugian mereka akan buat ‘sale’ untuk barangan lama. Padahal itu adalah harga asalnya walaupun telah diberikan diskaun.
“Jadi, pengguna harus bijak menilai barangan yang hendak dibeli. Jika berasa tertipu buatlah aduan dengan kadar segera. Sediakan bukti lengkap seperti resit pembelian dan lokasi premis supaya senang pihak berkuasa ambil tindakan,” katanya.
Artikel oleh: Kosmo
JUALAN MURAH GIMIK KAUT UNTUNG
https://www.kosmo.com.my/2022/12/28/jualan-murah-gimik-kaut-untung/