Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘JANGAN CAMPUR URUSAN UMAT ISLAM’ – ISMAWEB – 24/08/2023
24 Aug 2023

BANGI, 7 Safar 1445H, Khamis – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan mana-mana pertubuhan bukan Islam supaya tidak masuk campur urusan umat Islam di negara ini.

Ini susulan tindakan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) yang mempertikaikan pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di setiap sekolah bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, bantahan MCCBCHST ini adalah biadap dan mencabar umat Islam seluruh dunia.

“Apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan kamu, bukan kerajaan memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nadzim menegaskan, sekiranya masih ada pihak yang mencampuri urusan umat Islam dan terus menghina umat Islam, PPIM tidak akan berdiam diri.

“Kami mahu hidup dengan harmoni, semua ada agama masing-masing, ada hak masing-masing, jangan campur urusan agama kami,” tegasnya.

Pada masa sama, Nadzim mengecam tindakan MCCBCHST yang turut memberi amaran kepada Kementerian Pendidikan bahawa penguatkuasaan modul unilateral itu akan mengundang tindakan mahkamah.

“Mereka fikir mereka siapa mahu memberi amaran kepada Kementerian Pendidikan, saya yang memberi amaran kepada jutaan umat Islam negara ini menyokong langkah kementerian memperkenal pengajian 40 hadis dan sesiapa yang menentang mari bersemuka dengan kami,” katanya.

Terdahulu, KPM melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah lagi.

Modul itu akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah di bawah KPM tahun depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, modul yang akan diperkenalkan itu adalah untuk pelajar Islam sahaja.

Sebelum ini, MCCBCHST juga pernah menentang langkah Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan modul khat, satu bentuk kaligrafi Arab, di semua sekolah di seluruh negara.

Menurut kumpulan itu, modul khat akan bercanggah dengan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan, mengatakan ia sama seperti memaksa orang ramai untuk mengambil bahagian dalam ibadat agama selain daripada agamanya.

Artikel oleh: Ismaweb

‘JANGAN CAMPUR URUSAN UMAT ISLAM’

https://ismaweb.net/2023/08/24/jangan-campur-urusan-umat-islam/