KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berkuasa menyiasat semua kenyataan media dibuat mengenai isu pengajian 40 hadis yang semakin melampau.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, pihaknya akan membuat laporan polis mengenai perkara tersebut.
Menurutnya, agama Islam adalah di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Pendidikan Islam untuk pelajar beragama Islam adalah hak umat Islam, tindakan pihak bukan Islam masuk campur urusan agama Islam dalam negara ini sudah melampau,” katanya.
“Apakah mana-mana pihak yang menentang pelaksanaan modul Hadis 40 ini sudah meneliti kesemua dan mendapati ia boleh mengancam kesejahteraan orang bukan Islam?,” soalnya.
Tegas Nadzim lagi, arahan supaya semua pihak mengelak sebar kandungan berbaur kebencian babit 3R (Race, Religion, Royalty) bukan hanya termaktub kepada politik malah seluruhnya.
“Jangan ingat kami akan berdiam diri. Siapa mereka mahu meletakkan syarat dan mengugut sekiranya pengajian 40 hadis diteruskan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini. Semalam, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berkata, usaha mengajar modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi boleh dilaksanakan selagi ia hanya diperkenalkan di peringkat sekolah agama Islam dan tidak sesekali diperluaskan kepada pelajar bukan Islam.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berharap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berpegang kepada kenyataan menterinya dan memberi jaminan tidak memperluaskan modul ini kepada pelajar bukan Islam.
KPM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan program rintis Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi akan dilaksanakan dengan melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Pelaksanaan modul itu disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam sahaja bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama.
Sejak itu, pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan terutama NGO dan wakil masyarakat bukan Islam yang tidak ada kaitan dengan pengajian Islam atau agama Islam.- MalaysiaGazette
Artikel oleh: Malaysia Gazette
TINDAKAN BUKAN ISLAM CAMPURI PENGAJARAN 40 HADIS MELAMPAU – PPIM