Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
LANGKAH JANGKA PANJANG PERLU DIRANGKA, ATASI ISU KEKURANGAN BERAS PUTIH TEMPATAN – BULETIN TV3 – 08/09/2023
08 Sep 2023

KUALA LUMPUR : Langkah kerajaan menetapkan had pembelian maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan (BPT) bagi setiap individu atau syarikat berkuat kuasa serta-merta dilihat satu langkah yang baik.

Namun, langkah tersebut disifatkan sementara dan jangka masa pendek bagi mengatasi gangguan bekalan beras di pasaran.

Foto Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk Dr Marimuthu Nadason berkata kerajaan perlu memikirkan dan melaksanakan pelan jangka masa panjang.

“Kerajaan kena lihat beberapa langkah masa pendek dan panjang. Jangka masa pendek, kita perlu import beras dari negara-negara pengeluar beras yang lain selain sedia ada seperti India, Myanmar, Kemboja, Pakistan dan Thailand. Kita kena lihat pasaran beras yang lain.

“Jangka masa panjang, kita mempunyai hampir 300,000 hektar tanah-tanah terbiar. Jadi kerajaan harus membuat sesuatu supaya penanaman padi ini diluaskan sehingga minimum dapat mencukupi 85 peratus, dan sekarang baharu 65 peratus baharu kita ada.” katanya ketika dihubungi Buletin tv3.

Tambahnya, kerajaan tidak boleh bergantung kepada beras yang diimport dari negara luar semata-mata kerana pasaran ini tidak boleh ditentukan oleh kerajaan sahaja dan banyak faktor luaran yang akan mempengaruhi.

Foto Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Menyahut pandangan yang sama, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan.

Katanya, kerajaan juga perlu lihat pergerakan yang didakwa berpunca daripada kartel dan sindiket beras.

“Saya rasa kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada satu kaedah pasukan penyiasat khas untuk menyiasat semua perkara-perkara ini yang melemahkan usaha kerajaan.

“Saya lihat ini satu perkara yang penting kerana ia melibatkan makanan rakyat di negara ini yang mana kita perlu ambil usaha ini paling serius sekali dan mungkin bermula dengan apa yang Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu ambil tetapi ke arah bagaimana untuk mengatasi dan bangkit lagi bukan hanya buat ala kadar, saya rasa itu akan kurang berkesan.” katanya ketika dihubungi Buletin tv3.

Terdahulu, langkah kerajaan menetapkan had pembelian maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan (BPT) bagi setiap individu atau syarikat yang berkuat kuasa serta-merta itu mengikut Peraturan 10(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

Ia sebahagian daripada usaha kementerian untuk mengatasi gangguan bekalan beras terbabit di pasaran.

Keputusan itu juga mengambil kira gangguan bekalan BPT yang dikenal pasti berpunca daripada pembelian secara pukal, terutama dalam kalangan peniaga.

Artikel oleh: Buletin TV3

LANGKAH JANGKA PANJANG PERLU DIRANGKA, ATASI ISU KEKURANGAN BERAS PUTIH TEMPATAN

https://www.buletintv3.my/nasional/langkah-jangka-panjang-perlu-dirangka-atasi-isu-kekurangan-bpt/