BANGI, 22 Safar 1445H, Jumaat – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengecam tindakan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy yang membantah modul asal Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, dakwaan Arun mengenai lima hadis dikeluarkan termasuk hadis kelapan daripada hadis 40 itu sebagai melampau.
“Perbuatan Arun itu sangat melampau dan sebagai peguam dia sepatutnya lebih cerdik dalam mengeluarkan kenyataan.
“Adakah KPM terlalu dungu sehingga tunduk kepada orang bukan Islam yang cuba menentukan ajaran Islam mana yang boleh diterima oleh umat Islam negara ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nadzim menegaskan, negara ini tidak akan mencapai keamanan dan rakyatnya pula tidak hidup dalam harmoni sekiranya orang bukan Islam terus menekan dan membuat provokasi terhadap umat Islam.
“Tindakan Arun sama seperti jika umat Islam menyatakan ajaran agama Hindu salah dan tidak boleh diajar kepada orang beragama Hindu.
“Ajaran Hindu itu boleh merosakkan perpaduan, jika itu yang dikatakan umat Islam, apakah Arun akan terima?” soalnya.
Justeru, Nadzim berkata, pihaknya akan terus mempertahankan agama Islam di Malaysia walau apa jua sekalipun dan meminta semua umat Islam berbuat demikian.
“Kita berkorbanlah apa sahaja demi agama, apa lagi yang kita ada jika maruah Islam diinjak-injak seperti tiada nilai,” katanya.
Sebelum ini, Arun mendakwa, KPM telah mengeluarkan lima hadis daripada modul asal Hadis 40 Imam Nawawi.
Dakwanya, tindakan KPM itu dimaklumkan kepadanya oleh Persatuan Hindu Sangam Malaysia (MHS).
Katanya, lima hadis dikeluarkan itu, termasuk hadis ke-8 daripada hadis 40 tersebut, kerana dianggap tidak selari dengan aspirasi perpaduan.
Artikel oleh: Ismaweb
HADIS 40: DAKWAAN ARUN DORASAMY MELAMPAU, INGAT KPM DUNGU?
https://ismaweb.net/2023/09/08/hadis-40-dakwaan-arun-dorasamy-melampau-ingat-kpm-dungu/