1011) BERITA HARIAN 28/11/2013 – BEKAS MENTERI BESAR SELAR TNDAKAN KHALID
29 Nov 2013
Headline: Bekas Menteri Besar selar tindakan Khalid
Publication: BH
Date of publication: Nov 28, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 008
Byline / Author: Oleh Rafidah Mat Ruzki; Haspaizi Mohd Zain
Shah Alam: Tidak wajar bagi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Selangor membenarkan kenaikan gaji dan elaun bulanan Menteri Besar, EXCO
kerajaan negeri dan Ahli Undangan Negeri (ADUN), kata bekas Menteri Besar, Tan
Sri Abu Hassan Omar.
Beliau tidak melihat rasional keputusan DUN Selangor
meluluskan kenaikan gaji itu semalam kerana kerajaan pakatan pembangkang belum
mampu mengagihkan kekayaan ke seluruh negeri dan masih ada kawasan belum
dimajukan sepenuhnya serta ramai rakyat masih menderita.
Perlu ada kewajarannya
“Sebarang kenaikan gaji dan elaun perlu ada
kewajarannya. Ketika saya mentadbir Selangor dulu, saya tidak pernah menaikkan
gaji dan elaun Menteri Besar, EXCO dan ADUN. Kita perlu fikirkan rakyat
terlebih dulu,” katanya kepada BH, semalam.
Abu Hassan yang juga Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat
Malaysia (MUBARAK) Selangor, berkata walaupun kerajaan negeri berhak berbuat
demikian, kepentingan rakyat perlu diutamakan.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata kenaikan gaji
pemimpin politik di Selangor adalah tidak wajar dalam keadaan ekonomi negara
tidak menentu.
“Yang menerima kesannya adalah pekerja bawahan dan
rakyat, apatah lagi kos kehidupan di negeri Selangor tinggi berbanding negeri
lain. Sewajarnya mereka mengambil kira semua aspek sebelum membuat
keputusan,” katanya.
Jumlah tak munasabah
Presiden Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun
Khairuddin, berkata kenaikan melebihi 100 peratus tidak wajar meskipun kerajaan
Selangor mempunyai banyak wang rizab.
Katanya, walaupun kenaikan gaji perlu, jumlah yang
keterlaluan tidak munasabah.
“Gaji kakitangan kerajaan negeri juga patut dinaikkan
100 peratus. Saya yakin, kerajaan negeri mampu berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam
Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata keputusan kerajaan Selangor
adalah tidak wajar ketika rakyat masih belum menikmati kehidupan sempurna di
negeri itu.
“Mereka mendabik dada seolah-olah sudah memberikan
perkhidmatan terbaik kepada rakyat, walhal cukai pintu naik, pengangguran masih
tinggi dan infrastruktur belum sempurna. Perkhidmatan kerajaan negeri juga tak
capai KPI,” katanya.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA),
Datuk Dr Jacob George, pula berkata kebanyakan rakyat di Selangor menghadapi
kesempitan hidup akibat ekonomi tidak menentu sedangkan pemimpin mereka
mementingkan diri sendiri dengan menaikkan gaji serta elaun.
“Mereka juga tidak memberikan alasan atau justifikasi
terhadap kenaikan serta tidak bertanya pendapat akar umbi,” katanya.
Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk
Sohaimi Shahadan, berkata tiada kewajaran kenaikan gaji dan elaun sehingga
melebihi 300 peratus daripada gaji asal.
Post Views: 130