KUALA LUMPUR: Program Solidariti di peringkat sekolah mendidik pelajar mengenai isu global, pendirian negara dan kepentingan politik.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Nadzim Johan@Toqqi berkata langkah itu wajar kerana pelajar sekolah tidak digalakkan menyertai himpunan awam mengenai isu Palestin.
“Kita mahu anak-anak sekolah ini mengetahui isu yang melanda di Palestin, program Solidariti bersama Palestin di peringkat sekolah mendedahkan mereka kepada apa yang sedang berlaku.
“Pelajar dapat bertanya soalan, mendekati atau menghayati penderitaan yang dilalui kanak-kanak sebaya mereka di Palestin dan menyedari kezaliman oleh Israel,” katanya tegas.
Tambah Nadzim apa yang berlaku di Palestin boleh berlaku di Malaysia jika rakyat Malaysia terus bermusuhan sesama kita dan tidak tegas mempertahankan perpaduan negara.
Justeru, PPIM menyelar tindakan dua wakil rakyat Sarawak menyuarakan bantahan terhadap keputusan kerajaan agar sekolah dan institusi pendidikan awam mengadakan minggu solidariti bagi menunjukkan sokongan kepada Palestin.
“Apakah mereka menyokong Israel? Tidakkah mereka mahu semua rakyat Malaysia tahu penindasan yang berlaku dan apa cara semua rakyat Malaysia termasuk pelajar boleh lakukan untuk mengubah keadaan itu,” tegas Nadzim.
Tambah Nadzim pelajar sekolah boleh melihat bagaimana kuasa pengguna dipelbagai peringkat amat penting dan mampu menggugat syarikat korporat peringkat dunia jika semua pengguna bersatu hati dan bersolidariti.
“Jangan jadikan isu Palestin isu agama, lihatlah pada gambaran yang lebih luas, jangan kolot sangat minda itu, atau perlukah rakyat memilih wakil rakyat yang baharu, yang lebih celik mengenai isu global,” kata Nadzim.
Sebelum ini pejabat Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan) Azman Ahmad mengarahkan semua sekolah mengadakan minggu solidariti diadakan pada 29 Oktober hingga 3 November, dengan cadangan enam kegiatan.
Pekeliling itu bagaimanapun mengundang bantahan sejumlah NGO yang menggesa kerajaan agar sekolah dan institusi pendidikan tidak dilibatkan dengan isu konflik antarabangsa, pertikaian agama dan perang.
Adun Ba’Kelalan Baru Bian dan Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin) mempersoalkan keperluan ia diadakan, memandangkan fokus utama sekolah adalah pendidikan pelajar.
Nadzim menyelar tindakan mereka dan mempersoalkan samada kedua wakil rakyat dari Sarawak itu memahami soal perpaduan, bersatu hati dan apa maksud solidariti.
“Jika mereka tidak senada dengan kerajaan Malaysia, layakkah mereka mewakili suara rakyat yang sebulat suara menentang kezaliman Israel?
“Apakah mereka mahu menyembunyikan kebenaran dari pelajar sekolah dan menganggap pelajar sekolah tidak boleh bersuara,” katanya.