Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1018) METRO AHAD 1/12/2013 – FAHAMI SISTEM GST ELAK PENIPUAN
03 Dec 2013

Headline: Fahami sistem GST elak penipuan
Publication: MA
Date of publication: Dec 1, 2013
Section heading: Main Section
Page number: 031
Byline / Author: Oleh Firdaus Sahat
Kuala Lumpur: Cukai barang dan perkhidmatan (GST) dilihat
sebagai satu sistem pencukaian terbaik yang boleh diguna pakai di negara kita.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk
Nadzim Johan berkata, penggunaan GST di negara maju seluruh dunia terbukti
memberi impak positif kepada mereka.
“Ini yang harus kita contohi. Sudah pasti apa dirancang
oleh kerajaan akan memberikan kebaikan kepada kita. Cuma, kita perlu tahu
dengan tepat apakah GST itu serta memahaminya dengan baik dan jangan hanya
membuat andaian.
“Suka atau tidak, ia sesuatu yang perlu dipatuhi. Cuma,
kita sebagai pengguna perlu menjadi bijak dan jangan biarkan diri kita ditipu
sesetengah pihak.
“Sudah pasti, akan ada yang cuba mengambil kesempatan
bila sistem ini digunakan pakai kelak. Malah, sekarang pun sudah ada yang sudah
cuba menipu pengguna,” katanya.
Nadzim yang ditemui ketika Seminar Penerangan Apa itu GST
dan kesannya terhadap masyarakat anjuran PPIM yang diadakan di Dewan Sultan
Sulaiman, Kampung Baru, di sini, semalam berkata, masyarakat tidak sepatutnya
mendengar khabar angin atau persepsi negatif yang disampaikan oleh individu
yang tidak mengetahui apakah GST sebenarnya.
“Persepsi dan tohmahan negatif diberikan oleh mereka yang
tidak tahu maksud sebenarnya GST. Jadi, saya menyeru kepada masyarakat dan
pengguna supaya jangan mendengar cerita kedai kopi mengenai perkara ini.
“Sebagai pengguna yang bijak, fahami dengan mendalam
sistem ini supaya kita tidak mudah tertipu atau terpedaya.
“GST akan dilaksanakan pada 2015. Makanan tidak akan
dikenakan cukai oleh kerajaan dan ini perkara asas yang perlu diketahui oleh
pengguna.
“Jika kita tidak tahu perkara semudah ini, tidak
mustahil akan ada peniaga mengambil kesempatan terhadap kita kononnya makanan
juga dikenakan cukai.
“Dengan penganjuran seminar seperti ini, masyarakat dan
ahli PPIM yang hadir akan dapat memahami dengan lebih jelas mengenai sistem
terbabit.
“Sekurang-kurangnya mereka diberi penjelasan dan
pendedahan mengenai GST oleh kakitangan kerajaan yang bertauliah.
“Selain itu, mereka bebas bertanya mengenai GST atau
apa saja soalan yang berkenaan supaya mereka benar-benar memahami sistem
terbabit,” katanya.
Di sebalik menyokong tindakan kerajaan, Nadzim turut
menyuarakan pandangannya mengenai nilai pungutan cukai jika GST dilaksanakan
kelak.
Katanya, kerajaan perlu mengatur dan mengawal aliran wang
yang diterima daripada sistem terbabit supaya tidak berlaku pembaziran atau
penyelewengan.
“Kita perlu ingat, semua wang itu adalah wang rakyat.
Walaupun sistem GST bagus, kerajaan juga perlu memastikan tiada pembaziran
berlaku kelak. Penyelewengan atau penipuan yang terjadi nanti akan mematahkan
semangat dan membunuh motivasi pengguna.

“Saya harap kerajaan dapat menyalurkan wang terbabit
dengan baik dan ia dapat digunakan kembali untuk masyarakat negara ini,”
katanya yang akan meneruskan Seminar Penerangan Apa itu GST dari semasa ke
semasa.