CYBERJAYA – Malakat Mall bersama Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) melancarkan kempen Buy Muslim First Global Movement (BFM) bagi membantu usahawan tempatan dan antarabangsa memperkasa semula ekonomi Islam.
Pengasas pusat beli-belah itu, Mohd Fadzil Hashim berkata, kempen tersebut merupakan usaha memperluaskan sokongan terhadap produk usahawan tempatan dan juga daripada negara-negara Islam yang lain.
Menurutnya, sebagai tanda sokongan pihak mereka turut mengadakan karnival usahawan untuk memberi peluang memperkenalkan jenama barangan masing-masing.
“Kami turut melancarkan karnival usahawan bagi memberi peluang pengusaha tempatan memperkenalkan hasil jualan mereka di sini.
“Usahawan yang menyertai karnival ini pula terdiri daripada pengeluar produk dan memainkan peranan dalam ekosistem ekonomi negara.
“Kempen ini bukan bersifat bangsa atau kita ingin memboikot barangan bukan Islam, tetapi lebih kepada memperkuat ekonomi orang Islam sendiri,” katanya dalam Majlis Pelancaran BMF Global dan March4Gaza di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan beberapa ahli daripada badan bukan kerajaan (NGO) sebagai tetamu jemputan.
Mengulas lanjut, menurut Mohd Fadzil, Malakat Mall bukan sahaja digunakan sebagai platform untuk memperkenalkan jenama Islam tempatan pada setiap minggu, tetapi juga daripada Indonesia dan Turki.
Beliau berkata, ia susulan usaha masyarakat di negara ini memboikot produk pro- Israel berjaya memberi impak luar biasa.
“Boikot akan lebih berkesan sekiranya disusuli dengan usaha memperkenalkan barangan alternatif kepada pengguna.
“Usaha untuk memboikot memberi impak kepada orang ramai sehinggakan mereka bukan sahaja tidak masuk ke premis perniagaan yang diboikot, malah malu untuk kelihatan di kawasan sekitarnya,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi KoPPIM, Mustapa Kamal Mohd Razali berkata, dengan membangunkan semula ekonomi Islam dan domestik, ia membantu pengguna untuk terus menggunakan barangan jenama tempatan sebagai tanda solidariti.
Ulasnya, semua pihak perlu terus istiqamah dalam melakukan usaha memboikot produk pro- Israel.
“Kita harap usahawan di luar sana mengeluarkan produk untuk beri pilihan kepada pengguna,” katanya.
Artikel oleh: Sinar Harian
MALAKAT MALL, KOPPIM BANTU USAHAWAN PERKASA EKONOMI ISLAM