KUALA LUMPUR 2 Jan – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memberikan sokongan tidak berbelah bagi terhadap insiatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS) menerusi penggunaan dinar emas.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, penggunaan nilai standard dinar emas adalah lebih adil dan lebih stabil berbanding dengan dolar AS.
Malah katanya, usaha ini pasti akan memberikan kesan yang positif kepada ekosistem kepenggunaan di negara ini, khususnya kawalan kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan.
Sehubungan itu, kata Nadzim, PPIM menyambut baik saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mencadangkan penggunaan dinar emas sebagai nilai standard asas rizab negara.
“Walaupun ia adalah sesuatu amalan yang praktikal dan adil, namun sejak 1971 ia dihapuskan dan wujudlah apa yang dikenali sebagai mata wang Fiat yang tidak berasaskan apa-apa komoditi tetapi setakat disokong oleh negara pengeluar mata wang tersebut,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Tambah Nadzim, penggunaan dinar emas bagi mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS juga lebih awal telah disuarakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun, katanya, ia amat sulit diamalkan kerana perdagangan antarabangsa dunia telah terlalu bergantung kepada nilai dolar AS.
Nadzim dalam kenyataan itu juga percaya jika semua negara Islam yang kaya dengan sumber bumi yang berharga seperti minyak dan lain-lain galian serta komoditi memberi tekanan melalui kaedah sekatan bekalan, lambat laun ekonomi gergasi dunia akan terpaksa tunduk kepada amalan yang lebih adil ini.- DagangNews.com
Artikel oleh: DagangNews
PPIM BERI SOKONGAN TIDAK BERBELAH BAGI CADANGAN GUNA DINAR EMAS