Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
GERAKAN BOIKOT TUNJUK PENYATUAN, PENGARUH KUAT PENGGUNA ISLAM – PPIM – HARIAN METRO – 18/03/2024
19 Mar 2024

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong gerakan boikot oleh pengguna Muslim terhadap perniagaan yang melakukan penghinaan terhadap kesucian Islam menerusi penggunaan kalimah Allah SWT atau lain-lain cara.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, usaha itu menunjukkan adanya penyatuan dan pengaruh kuat pengguna Islam dalam membela, mempertahankan agama dan hak mereka.

Menurut Nadzim, gerakan itu juga berupaya memberi tekanan kepada perniagaan terbabit supaya tidak mudahnya menindas umat Islam.

“Ada baiknya juga gerakan boikot itu kerana jika kita sebagai pengguna Islam hendak dihormati maka perlu bersatu kerana kalau kuat, orang akan hormat.

“Pengguna kena buat apa yang perlu untuk melindungi hak mereka dan salah satunya menerusi gerakan boikot itu.

“Lagipun, apa dibelanjakan itu duit kita jadi kita boleh ‘demand’ (minta) dan buktinya, lihat saja apa berlaku terhadap syarikat besar kesan boikot,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nadzim, PPIM turut menerima aduan berhubung isu berkenaan dan menyokong selagi mana gerakan itu berasas.

Nadzim berkata, beliau juga menyedari keterbukaan dan keberanian pengguna Islam pada masa kini dalam bersuara untuk mempertahankan kesucian agama.

“Dulu agak sukar (boikot) malah nak minta orang sedar pun susah.

“Bagaimanapun, dengan adanya pengaruh media sosial, pengguna lebih berani bersuara dan itu yang kita kena galakkan dalam masyarakat khususnya pengguna Islam,” katanya.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa kedai rangkaian serbaneka KK Super Mart.

Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan sudah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memanggil pihak pengurusan KK Super Mart untuk berbincang dalam memastikan perkara itu tidak berulang.

Beliau juga meminta umat Islam bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan lanjut.

Artikel oleh: Harian Metro

GERAKAN BOIKOT TUNJUK PENYATUAN, PENGARUH KUAT PENGGUNA ISLAM – PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/03/1071366/gerakan-boikot-tunjuk-penyatuan-pengaruh-kuat-pengguna-islam-ppim