Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KABURKAN WAJAH KANAK-KANAK MANGSA EKSPLOITASI DI MEDIA SOSIAL – PPIM – MALAYSIA GAZATTE – 12/09/2024
13 Sep 2024

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bimbang tindakan pengguna media sosial berkongsi semula gambar dan video kanak-kanak yang dikatakan menjadi mangsa eksploitasi beberapa pihak.

Sehubungan itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menggesa supaya semua pihak melindungi mangsa  khususnya yang dikaitkan dengan jenayah seksual.

“Kita faham rakyat amat terkesan dengan pendedahan terkini namun kita harus percaya pihak berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengembeleng tenaga untuk menyelamatkan mangsa dan menyiasat perkara ini,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru orang ramai bersama-sama pihak berkuasa melindungi kanak-kanak dengan mengaburkan wajah kanak-kanak yang terlibat.

“Semangat ini kita puji namun kena juga ada batasan dan tidak sehingga memfitnah, bagus untuk mengetengahkan masalah dan mendapat perhatian pihak berkuasa namun berhati-hati juga dengan gejala fitnah.

“Sebaiknya semua pihak diajak menyiasat dan membuat penilaian terdahulu sebelum menyebarkan maklumat agar tidak terpalit dengan tindakan saman dan sebaliknya,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memuji tindakan pantas pihak berkuasa yang tangkas menangani isu tersebut.

Nadzim berharap supaya pihak berkuasa melaksanakan siasatan secara terperinci.

“Semoga undang-undang dapat ditegakkan dan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya, tuduhan yang dilemparkan amat serius terutama dakwaan ada jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Baru-baru ini dilaporkan polis menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan ‘Op Global’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan. – MalaysiaGazette

Artikel oleh: Malaysia Gazette

KABURKAN WAJAH KANAK-KANAK MANGSA EKSPLOITASI DI MEDIA SOSIAL – PPIM

https://malaysiagazette.com/2024/09/12/kaburkan-wajah-kanak-kanak-mangsa-eksploitasi-di-media-sosial-ppim/