Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TAK PERNAH TAHU ISU DALAM GISBH, PPIM NAFI DAKWAAN BERSEKONGKOL – UTUSAN TV – 21/09/2024
21 Sep 2024

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bersekongkol melindungi kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan turut mengamalkan ajaran sesat.

Sehubungan itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan meminta semua pihak tidak memburukkan lagi keadaan dan tidak cuba mengaitkan NGO itu dengan isu yang tidak berkaitan.

Beliau menegaskan, PPIM tidak pernah mengetahui apa-apa isu dalam kumpulan GISBH yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram dan lain-lain sehingga perkara tersebut didedahkan baru-baru ini.

Menurut Nadzim, banyak perkara yang ditularkan di media sosial adalah tidak tepat dan terdapat juga cubaan mengaitkan PPIM dengan siasatan yang sedang berlangsung.

“PPIM seperti mana banyak pihak lain sebelum ini bekerjasama dengan entiti perniagaan GISBH atas kapasiti menyokong usaha mereka meningkatkan jumlah produk halal buatan umat Islam untuk pengguna di Malaysia.

“Bagaimanapun, kerjasama ini bukanlah cerminan PPIM menyokong atau mengetahui megnenai dakwaan berkaitan isu dalam kumpulan itu yang kini sedang tular.

“PPIM fokus kepada mempertahankan hak pengguna dan memperjuangkan isu rakyat tanpa prejudis kepada mana-mana pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nadzim menegaskan PPIM tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang kerajaan atau bertentangan dengan ajaran Islam.

“PPIM bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diminta berbuat demikian serta mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik profil tanpa identiti di media sosial.

“PPIM juga memandang serius budaya buli siber yang semakin melarat dan percaya pihak berkuasa juga sudah tidak dapat mengawalnya,” katanya.

Artikel oleh: Utusan TV

TAK PERNAH TAHU ISU DALAM GISBH, PPIM NAFI DAKWAAN BERSEKONGKOL

https://utusantv.com/2024/09/21/tak-pernah-tahu-isu-dalam-gisbh-ppim-nafi-dakwaan-bersekongkol/