Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM TIDAK PERNAH LINDUNGI GISB – UTUSAN MALAYSIA – 21/09/2024
21 Sep 2024

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Islam (PPIM) menafikan dakwaan beberapa pihak yang mengatakan PPIM bersekongkol melindungi ahli kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Ketua Aktivis, Datuk Nadzim Johan berkata, persatuan itu hanya bekerjasama dengan entiti perniagaan GISBH atas dasar menyokong usaha syarikat itu meningkatkan produk halal buatan Islam untuk pengguna di Malaysia.

“Bagaimanapun, kerjasama ini bukanlah cerminan PPIM menyokong atau mengetahui mengenai dakwaan berkaitan isu dalam kumpulan ini yang kini sedang tular.

“PPIM tidak melindungi mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, terdapat laporan tidak tepat mengenai pendirian PPIM yang cuba mengaitkan badan itu  dengan siasatan yang berlangsung.

“PPIM fokus kepada mempertahankan hak pengguna dan memperjuangkan isu rakyat tanpa prejudis kepada mana-mana pihak lain,” katanya.

Kata Nadzim, PPIM berharap siasatan terperinci dilakukan supaya pihak yang bersalah dihukum manakala mereka yang dianiaya terutamanya kanak-kanak yang dikatakan menjadi mangsa eksploitasi dan jenayah seksual perlu dilindungi serta dibantu untuk masa depan yang lebih baik.

“PPIM menegaskan tidak pernah mengetahui mengenai apa-apa isu dalam kumpulan GISBH yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan termasuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak, pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram dan lain-lain sehinggalah perkara itu didedahkan baru-baru ini,” tegasnya.

Selepas ini, kata beliau, PPIM berharap tidak ada pihak lain cuba terus memburukkan  keadaan selain berhenti  mengaitkan PPIM dengan GISBH.

“Kami bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa jika diminta berbuat demikian serta mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa terhadap dakwaan pihak tidak bertanggungjawab yang berselindung di sebalik profil tanpa identiti di media sosial,” jelasnya. – UTUSAN

Artikel oleh: Utusan Malaysia

PPIM TIDAK PERNAH LINDUNGI GISB

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/09/ppim-tidak-pernah-lindung-gisb/