PETALING JAYA – Terdapat segelintir pengamal perubatan alternatif di negara ini yang mengenakan caj ‘harga kayangan’ mencecah ribuan ringgit yang disifatkan tidak masuk akal sehingga membebankan pelanggan mereka.
Kebanyakan kaedah rawatan yang digunakan tidak melibatkan kos yang besar, namun bayaran yang dikenakan mengatasi caj di klinik swasta dan hospital yang menggunakan peralatan dan ubat-ubatan.
Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Azlin Othman mendedahkan, pihaknya menerima aduan daripada wanita berusia dalam lingkungan 60-an yang terpaksa membayar lebih RM1,000 bagi mendapatkan rawatan kerana tidak boleh tidur malam.
“Wanita itu tidak boleh tidur malam sehingga menyebabkan dia kemurungan.
“Bagaimanapun, masalah itu yang turut dikaitkan dengan sihir masih tidak pulih, sebaliknya mengundang masalah baharu kerana kerugian,” katanya kepada Kosmo!.
Azlin berkata, caj ‘harga kayangan’ yang ditetapkan pengamal perubatan alternatif perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
“KPDN dan KKM perlu meneliti perkara ini kerana negara mempunyai undang-undang antipencatutan yang terpakai ke atas semua perniagaan yang menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan,” katanya.
Jelas Azlin, pihaknya tidak berniat untuk menafikan perkhidmatan rawatan alternatif, tetapi caj yang dikenakan haruslah berpatutan.
Beliau memberi contoh bayaran ‘seikhlas hati’ atau rawatan akupuntur, bekam, ayurveda dan rawatan tradisional lain yang meletakkan kadar bayaran munasabah oleh sesetengah pengamal perubatan alternatif.
“Ada yang yang kata bayaran ‘seikhlas hati’, tetapi pesakit diminta membeli produk mereka yang harganya mencecah ratusan ringgit. Begitu juga rawatan alternatif lain yang diiklankan di media sosial, cajnya terlalu tinggi walaupun kos rawatan tidak seberapa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, satu garis panduan mengenai caj rawatan oleh pengamal perubatan alternatif wajar diwujudkan.
Katanya, garis panduan itu bukan bertujuan menafikan keberkesanan sesuatu rawatan alternatif, tetapi memberi keadilan kepada semua pihak sekali gus mengelakkan penipuan.
“Ini yang perlu kita kaji. Kita mahukan yang terbaik dan tiada mana-mana pihak terperdaya. Mungkin KKM boleh keluarkan garis panduan misalnya mengikut jam (tempoh) rawatan,” katanya.
Tambahnya, pengguna juga perlu bijak memilih pengamal perubatan bagi mengelakkan kerugian besar.
Berdasarkan laman web myhealth.gov.my, program perubatan integrasi merangkumi amalan perubatan tradisional dan komplementari (PT&K) yang disepadukan dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan telah bermula sejak 2006.
PT&K yang ditempatkan di hospital terpilih di seluruh negara adalah urut Melayu, akupunktur amalan Melayu dalam penjagaan ibu lepas bersalin, herba sebagai rawatan sampingan bagi pesakit kanser dan shirodara.
Perkhidmatan PT&K yang disediakan bukanlah satu rawatan alternatif, sebaliknya pelengkap atau komplemen bagi rawatan allopati yang diberikan hanya untuk penyakit kronik bukannya kes akut.
Kronologi rawatan adalah berpandukan kepada garis panduan PT&K bagi hospital integrasi, tetapi pesakit akan disaring terlebih dahulu sebelum rawatan PT&K diberikan. -KOSMO! ONLINE
Artikel oleh: Kosmo
BAYAR RM1,000 UNTUK DAPATKAN RAWATAN JARAK JAUH
https://www.kosmo.com.my/2024/12/14/bayar-lebih-rm1000-rawat-sihir-tidak-boleh-tidur/