Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
KEADAAN MANGSA BANJIR DI ACEH KRITIKAL, BANTUAN MASIH DIPERLUKAN – UTUSAN MELAYU PLUS – 18/12/2025 
20 Dec 2025

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan keadaan mangsa banjir di Aceh, Indonesia berada pada tahap kritikal apabila ramai masih belum menerima sebarang bantuan asas termasuk makanan, tempat perlindungan dan rawatan perubatan.

Ketua Umum Lembaga Aceh Bersatu, Teungku Munawar Saujana Pendidikan Islam (SPdl)

Ketua Umum Lembaga Aceh Bersatu, Teungku Munawar berkata, banjir besar yang melanda kawasan itu telah memusnahkan hampir keseluruhan harta benda penduduk sehingga rumah kediaman menjadi lautan lumpur dan kayu-kayan.

“Selepas banjir melanda, rumah-rumah musnah dan tidak lagi boleh didiami. Mangsa tiada tempat untuk berlindung, malah makanan juga tiada.

“Ramai mangsa sehingga kini masih belum menerima bantuan dan keadaan menjadi lebih sukar apabila mangsa terpaksa membantu sesama mangsa,” katanya dalam sidang akhbar anjuran PPIM di ibu negara hari ini.

Menurut beliau, usaha menyampaikan bantuan berdepan pelbagai halangan apabila laluan utama terputus akibat jalan yang rosak dan dipenuhi kayu-kayu besar yang sukar dialihkan tanpa penggunaan jentera berat.

“Walaupun ada jalan, kayu-kayu berat masih melintang dan sehingga kini belum dibersihkan. Ini menyukarkan pergerakan dan penghantaran bantuan ke kawasan pedalaman,” ujarnya.

Tambahnya, keadaan kesihatan mangsa turut membimbangkan apabila ada yang hanya mampu makan ikan masin sehingga menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit gigi, namun tidak mendapat rawatan atau ubat-ubatan yang diperlukan.

Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan

Sementara itu, Presiden Muslim Care Malaysia Society, Zulkifli Wahijan berkata, tahap keperitan mangsa jelas dapat dilihat apabila mereka sanggup berjalan sejauh beberapa kilometer semata-mata untuk mendapatkan bekalan makanan.

“Ada mangsa yang berjalan sehingga lima kilometer hanya untuk mengambil beras. Ini menunjukkan keadaan sudah terlalu kritikal dan mereka berada dalam situasi kelaparan yang serius,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menegaskan bahawa keadaan sebenar di lapangan jauh lebih buruk daripada apa yang digambarkan dan memerlukan perhatian segera serta kerjasama pelbagai pihak.

Beliau menyeru agar bantuan kemanusiaan disegerakan dan sekatan-sekatan yang menghalang penghantaran bantuan ke kawasan terjejas dapat dilonggarkan demi menyelamatkan nyawa mangsa banjir di Aceh.

Artikel oleh: Utusan Melayu Plus

KEADAAN MANGSA BANJIR DI ACEH KRITIKAL, BANTUAN MASIH DIPERLUKAN

https://utusanmelayuplus.com/keadaan-mangsa-banjir-di-aceh-kritikal-bantuan-masih-diperlukan/