


Kuala Lumpur: Pasukan memanah berkuda Malaysia meraih tiga pingat emas dalam Global Horseback Archery Masters 2025 di Honghuashan Sports Centre, Shenzhen, China.
Kejayaan cemerlang pada kejohanan 10 hingga 13 Disember lalu itu dimulakan dalam Kategori Junior apabila Abu Bakr Muhamad Akmal, 13, muncul juara dan meraih pingat emas bagi Serial Format.
Manakala abangnya, Muhammad, 15, selaku kapten pasukan, memenangi pingat perak dalam kategori sama.
Dalam Hungarian Format, Abdurrahman Ahmad Mu’az, 15, menghadiahkan pingat perak buat negara, sementara Muhammad menambah koleksi pingat dengan meraih gangsa.
Dominasi Malaysia diteruskan dalam acara Masahi Format apabila pasukan negara berjaya menewaskan pencabar dari pelbagai negara untuk merangkul pingat emas, sekali gus mengesahkan keunggulan mereka dalam acara berpasukan.
Prestasi konsisten atlet negara turut terserlah dalam Kategori Terbuka apabila Abdurrahman sekali lagi menaiki podium dengan memenangi pingat perak dalam Hungarian Format, manakala Abu Bakr menambah pingat gangsa dalam Serial Format.
Kapten pasukan, Muhammad berkata, kejayaan itu menjadi pembakar semangat buat dirinya dan rakan sepasukan untuk terus mencipta nama di peringkat dunia.
Menurutnya, kejohanan berkenaan mempertandingkan dua peringkat umur iaitu junior (11 hingga 16 tahun) dan terbuka, selain tiga format utama iaitu Serial, Hungarian dan Masahi yang masing-masing mempunyai cabaran tersendiri.
“Serial format memerlukan atlet memanah tiga sasaran, Hungarian pula menuntut ketepatan dari jarak jauh sejauh 45 meter, manakala Masahi adalah acara berpasukan yang memerlukan kerjasama untuk menjatuhkan lima papan sasaran,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di sini, hari ini.
Muhammad mengakui persaingan sengit dengan kehadiran atlet elit dari Mongolia, China dan Turki, selain faktor cuaca sejuk dan hujan yang turut menguji kemampuan atlet.
Sementara itu, jurulatih pasukan, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan berkata, cabaran terbesar atlet Malaysia untuk bersaing di peringkat dunia adalah dari segi kos, khususnya perbelanjaan latihan dan penjagaan kuda.
“Dalam memanah berkuda, bukan hanya atlet yang perlu dilatih, kuda juga adalah atlet yang memerlukan penjagaan rapi, makanan, rawatan dan latihan berterusan.
“Kami terpaksa menggunakan simpanan sendiri termasuk menjalankan pelbagai usaha sampingan termasuk perniagaan kecil bagi menampung perbelanjaan pasukan.
“Namun Alhamdulillah, dengan pengorbanan semua pihak, kita berjaya membuktikan bahawa Malaysia kini berada di puncak dunia. Nama Malaysia sudah mula disebut-sebut dalam kalangan jurulatih dan pemanah berkuda antarabangsa,” katanya.
Mengulas perancangan masa depan, beliau berkata, pasukan negara menyasarkan kejohanan utama pada 2026 termasuk World Horseback Archery Championship di Mongolia dan World Nomad Games di Kazakhstan.
“Persaingan dijangka lebih sengit terutama dengan kehadiran kuasa besar seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), namun kami yakin mampu bersaing jika mendapat sokongan dari segi penajaan, latihan dan logistik,” katanya.
Kejohanan Global Horseback Archery Masters 2025 itu mendapat pengiktirafan rasmi World Horseback Archery Federation (WHAF) dan disertai lebih 70 atlet dari China, Kazakhstan, Turki, Iran, Iraq, Thailand, Indonesia, Mongolia dan Korea Selatan.
Dalam pada itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan menyeru kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi perhatian dan sokongan dana kepada sukan sunnah berkenaan.
Artikel oleh: Harian Metro
MALAYSIA RANGKUL 3 EMAS SUKAN MEMANAH BERKUDA DI CHINA