


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menghapuskan sistem kadar tambang secara tawar-menawar (bidding) dalam sektor e-hailing.
PPIM dalam satu kenyataan berkata, MoT dan APAD juga perlu mengawal kadar tambang e-hailing dengan menetapkan kadar tambang lantai demi memastikan keadilan kepada semua pihak dalam industri itu.
Menurutnya, meskipun tambang bidding memberikan kelebihan tertentu kepada pengguna, namun kebajikan dan kelangsungan pendapatan pemandu e-hailing juga tidak boleh diketepikan.
Apatah lagi, tambahnya, pemandu e-hailing merupakan sebahagian daripada rakyat yang bergantung sepenuhnya kepada sektor itu sebagai sumber rezeki.
“Adalah amat mengelirukan dan tidak konsisten apabila perkhidmatan teksi dilarang daripada menjalankan tawar-menawar tambang, sedangkan perkhidmatan e-hailing pula dibenarkan.
“Sedangkan Menteri Pengangkutan sendiri pernah menyatakan bahawa kementerian tidak pernah membenarkan sistem tambang bidding beroperasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut PPIM, MoT dan APAD seharusnya menggubal dasar yang lebih adil, seimbang dan menyeluruh kepada keseluruhan ekosistem industri gig sektor e-hailing, merangkumi pengguna, pemandu serta syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing (EHO) tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Tambahnya, isu penurunan kadar tambang kini menjadi semakin kritikal dan tidak terkawal sejak pelaksanaan sistem tambang bidding di Malaysia, sehingga menekan pendapatan pemandu serta menjejaskan kelestarian industri dalam jangka panjang.
Katanya, syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seharusnya bersaing secara sihat melalui peningkatan kualiti perkhidmatan, bukannya melalui perang harga yang akhirnya menjadikan pemandu sebagai mangsa.
Selain itu, ujarnya, sehingga ke hari ini, kerajaan dilihat masih gagal menyelesaikan isu-isu utama yang membebankan pemandu, termasuk kenaikan kos insurans e-hailing serta kegagalan menangani isu kuota BUD195 secara menyeluruh dan berkesan.
“Sehubungan itu, PPIM menggesa MoT dan APAD agar segera mengambil tindakan tegas dan konkrit tanpa sebarang alasan, bagi memastikan kebajikan pemandu e-hailing terus terbela serta memastikan industri gig sektor e-hailing kekal relevan, mampan dan adil di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel: Malaysia Gazette
PPIM GESA HAPUS SISTEM BIDDING DALAM SEKTOR E-HAILING
https://malaysiagazette.com/2025/12/31/ppim-gesa-hapus-sistem-bidding-dalam-sektor-e-hailing