Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PEMANDU E-HAILING TERKESAN KENAIKAN PREMIUM INSURANS – PPIM – HARIAN METRO – 23/01/2026
26 Jan 2026

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap cabaran yang dihadapi pemandu e-hailing susulan beberapa isu operasi yang dilihat memberi tekanan berterusan kepada golongan berkenaan.

PPIM dalam satu kenyataan berkata, pemandu e-hailing kini berdepan peningkatan kos dan keperluan operasi yang semakin mencabar dalam usaha meneruskan kelangsungan pendapatan harian.

Jelas kenyataan itu, antara isu yang sering dibangkitkan ialah kenaikan premium insurans e-hailing yang memberi kesan langsung kepada kos operasi pemandu.

“PPIM menerima beberapa aduan daripada pemandu e-hailing berkaitan peningkatan premium insurans yang difahamkan memberi kesan kepada pendapatan mereka.

“Sehubungan itu, PPIM berharap pihak berkaitan dapat meneliti perkara ini termasuk penyediaan data yang diaudit secara bebas bagi memastikan sebarang keputusan berkaitan premium dibuat secara telus dan berasaskan fakta,” katanya.

Selain itu, katanya, PPIM turut menyentuh mengenai struktur tambang perkhidmatan e-hailing yang mempengaruhi kestabilan pendapatan pemandu.

“Sistem tambang secara tawar-menawar perlu dihapuskan kerana mencetuskan perang harga termasuk merosakkan kestabilan ekosistem e-hailing,” katanya.

Dalam pada itu, PPIM turut membangkitkan isu berkaitan keselamatan termasuk cadangan pelaksanaan pengesahan identiti pengguna e-hailing.

Katanya, cadangan itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dan perlindungan kepada pemandu ketika menjalankan tugasan harian.

“Bantuan segera dan perlindungan sewajarnya kepada pemandu sekiranya berlaku sebarang kes jenayah atau salah laku oleh pengguna.

“PPIM menegaskan bahawa tanpa mekanisme pengesahan identiti pengguna yang kukuh dan sistem perlindungan menyeluruh termasuk pemandu e-hailing akan terus terdedah kepada risiko keselamatan,” katanya.

PPIM juga berharap, segala isu yang dibangkitkan dapat diteliti secara menyeluruh melalui kerjasama semua pihak demi kesejahteraan industri e-hailing negara.

Artikel oleh: Harian Metro

PEMANDU E-HAILING TERKESAN KENAIKAN PREMIUM INSURANS – PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2026/01/1314482/pemandu-e-hailing-terkesan-kenaikan-premium-insurans-ppim