Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM BONGKAR TAKTIK KOTOR SYARIKAT TELCO: CAJ TERSEMBUNYI CEKIK DARAH PENGGUNA – KENYATAAN MEDIA PPIM – 18/03/2026
18 Mar 2026

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mendedahkan siri rompakan halus yang dilakukan oleh syarikat telekomunikasi (Telco) terhadap rakyat Malaysia melalui pengenalan caj-caj tersembunyi dan pakej “percuma” yang akhirnya memerangkap pengguna dengan hutang ribuan ringgit.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi menegaskan bahawa isu ini bukan lagi perkara kecil, tetapi satu bentuk penindasan sistematik yang mengaut keuntungan puluhan juta ringgit di atas penderitaan rakyat.

“Kita tengok caj insurans sahaja, syarikat telco untung berpuluh juta! Tapi pengguna rugi besar sebab kena caj berganda. Ini bukan perniagaan, ini dah macam skim nak ‘sembelih’ pelanggan secara diam-diam. Saya nak tanya, di mana integriti syarikat-syarikat besar ini?” tegasnya.

MODUS OPERANDI “HADIAH PERCUMA” YANG MEMERANGKAP

PPIM menerima aduan daripada seorang mangsa, Aina Ramli, 48, yang menjadi mangsa taktik licik sebuah syarikat telco. Mangsa ditawarkan talian telefon “percuma” sebagai penghargaan pelanggan setia dan diberitahu jika tidak berminat, beliau tidak perlu melakukan apa-apa dan tiada caj akan dikenakan.

Namun, selepas setahun, Aina terkejut apabila mendapati namanya telah disenarai hitam (Blacklist). Penyata bil menunjukkan beliau dikenakan caj RM100 setiap bulan untuk talian yang kononnya “percuma” dan tidak pernah diaktifkan olehnya sendiri.

“Ini satu penganiayaan! Bagaimana talian yang tidak pernah disentuh boleh keluar bil RM100 sebulan sampai mangsa disenarai hitam? Kalau mangsa tak semak, sampai ke tua dia kena bayar ‘hutang hantu’ ini,” katanya lagi.

MCMC JANGAN JADI “Pak Turut” TELCO, KENAKAN DENDA MAKSIMUM!

Walaupun kes Aina Ramli berjaya diselesaikan selepas dibawa ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), PPIM melihat ini hanyalah “hujung gunung ais” (tip of the iceberg).

Berapa banyak lagi pengguna di luar sana yang sedang membayar bil untuk perkhidmatan yang mereka tidak guna?

PPIM menuntut tindakan segera daripada Kerajaan dan pihak berkuasa:

  1. Denda Mandatori yang Tinggi: Kerajaan mesti mengenakan denda jutaan ringgit kepada mana-mana telco yang terbukti mengenakan caj tersembunyi atau menipu pengguna dengan istilah “percuma”. Denda kecil tidak akan memberi kesan kepada syarikat gergasi ini!
  2. Audit Wajib ke atas Sistem Bil: MCMC perlu melakukan audit menyeluruh terhadap setiap sen yang dicaj oleh telco, terutamanya melibatkan produk pihak ketiga seperti insurans dan kandungan premium.
  3. Hapuskan Senarai Hitam Automatik: Jangan sesuka hati menyenarai hitamkan pengguna selagi aduan dan pertikaian bil belum diselesaikan secara telus.

NASIHAT TOQQI KEPADA RAKYAT

Nadzim Johan turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya buka mata dan semak penyata bil setiap bulan.

“Jangan jadi pak turut. Jangan percaya bulat-bulat apa telco kata ‘percuma’. Periksa setiap baris dalam bil anda. Kalau ada caj pelik hatta seringgit sekalipun, lawan! Kalau telco tak layan, datang jumpa kami di PPIM. Kita tak boleh biarkan mereka ini terus bermaharajalela mencuri duit rakyat secara halus,” katanya.

PPIM memberi amaran kepada syarikat-syarikat telco terlibat supaya menghentikan taktik kotor ini sebelum tindakan lebih drastik diambil bagi membela maruah dan poket rakyat.