


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan helah syarikat telekomunikasi yang didakwa mengenakan caj tersembunyi kononnya pakej ‘percuma’ namun akhirnya menjerat pengguna dengan bil tertunggak mencecah ribuan ringgit.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata isu itu bukan lagi perkara kecil sebaliknya satu bentuk penindasan sistematik yang mengaut keuntungan puluhan juta ringgit di atas penderitaan rakyat.
Menurutnya, antara taktik digunakan adalah menawarkan talian telefon ‘percuma’ kononnya sebagai penghargaan kepada pelanggan setia.
“Kita tengok caj insurans sahaja, syarikat telekomunikasi untung berpuluh juta! Tapi pengguna rugi besar sebab kena caj berganda.
“Ini bukan perniagaan, ini dah macam skim nak ‘sembelih’ pelanggan secara diam-diam.
“Ini satu penganiayaan. Bagaimana talian yang tidak pernah disentuh boleh keluar bil RM100 sebulan sampai mangsa disenarai hitam? Kalau mangsa tak semak, sampai ke tua dia kena bayar ‘hutang hantu’ ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PPIM menerima aduan daripada seorang mangsa, Aina Ramli, 48, yang ditawarkan talian telefon ‘percuma’ dan dimaklumkan tiada caj dikenakan jika tidak berminat.
Namun katanya, selepas setahun, mangsa terkejut apabila namanya disenarai hitam selain dikenakan caj RM100 setiap bulan bagi talian yang tidak pernah diaktifkan.
“Kita tak boleh biarkan mereka ini terus bermaharajalela mencuri duit rakyat secara halus,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, kes itu berjaya diselesaikan selepas dibawa ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Jangan sesuka hati menyenarai hitamkan pengguna selagi aduan dan pertikaian bil belum diselesaikan secara telus,” katanya.
Katanya, PPIM menuntut tindakan tegas kerajaan termasuk mengenakan denda mandatori tinggi terhadap telco yang terbukti mengenakan caj tersembunyi, selain audit menyeluruh terhadap sistem bil.
Selain itu, beliau turut menggesa supaya amalan senarai hitam automatik dihentikan selagi pertikaian bil belum diselesaikan secara telus.
“PPIM turut memberi amaran kepada syarikat telekomunikasi terbabit supaya menghentikan taktik berkenaan sebelum tindakan lebih drastik diambil,” katanya
Artikel oleh: Harian Metro
PPIM SELAR TAKTIK ‘SEMBELIH’ PELANGGAN GUNA TALIAN PERCUMA