Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HARGA SAYURAN DIJANGKA NAIK, MUNGKIN CECAH 50 PERATUS – PERSATUAN PEKEBUN – BULETIN TV3 – 23/03/2026
26 Mar 2026

KUALA LUMPUR: Harga sayuran dijangka naik secara berperingkat dalam masa terdekat berikutan peningkatan kos pengeluaran.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, pihaknya menjangkakan kenaikan harga bahan mentah itu dalam tempoh seminggu dua ini.

“Ia mungkin akan naik hingga 50 peratus untuk seketika.

“Namun, harganya kemudian mungkin akan turun sedikit pula hingga 30 peratus,” katanya kepada BH, hari ini.

Setakat ini, belum ada kenaikan harga sayuran walaupun kos pengeluaran meningkat dengan cepat.

Katanya, faktor peningkatan kos pengeluaran termasuk kenaikan harga baja tanaman, serta diesel yang antara lain diperlukan bagi operasi jentera, generator dan pengangkutan.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya sering menasihati pengguna supaya berjimat dalam berbelanja.

Bagi mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah, beliau berkata, orang ramai disaran mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan di kawasan rumah untuk kegunaan sendiri, termasuk menggunakan teknik hidroponik untuk tanaman seperti bayam, kangkung dan sawi.

Selain itu, beliau berkata, pengguna harus membuat pilihan bijak dengan membuat perbandingan harga bagi mendapatkan produk lebih murah atau berpatutan.

“Pengguna berupaya menentukan harga barangan. Jika bijak memilih harga yang berpatutan, peniaga tiada pilihan kecuali menurunkan harga,” katanya.

Artikel oleh: Buletin TV3

HARGA SAYURAN DIJANGKA NAIK, MUNGKIN CECAH 50 PERATUS – PERSATUAN PEKEBUN

https://www.buletintv3.my/nasional/harga-sayuran-dijangka-naik-mungkin-cecah-50-peratus-persatuan-pekebun/