Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
HARGA SAYUR DIJANGKA MELONJAK HINGGA 50% MINGGU DEPAN – SUARA MERDEKA – 25/03/2026
26 Mar 2026

Rakyat Malaysia dijangka berdepan kenaikan harga sayur-sayuran seawal minggu hadapan susulan kesan konflik di Asia Barat yang mula menular ke pasaran tempatan.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid berkata, harga sayur berpotensi melonjak sehingga 50 peratus dalam tempoh terdekat sebelum mungkin stabil pada sekitar kenaikan 30 peratus.

Menurut beliau, peningkatan kos baja dan diesel menjadi faktor utama, memandangkan kedua-duanya penting bagi operasi mesin, generator serta pengangkutan hasil pertanian.

“Konflik di rantau Teluk, khususnya melibatkan Selat Hormuz yang merupakan laluan utama perdagangan minyak dunia, telah menyebabkan harga minyak global meningkat. Ini memberi kesan langsung kepada kos pengeluaran makanan termasuk sayur-sayuran,” katanya seperti dilaporkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan menggesa pengguna agar berbelanja secara bijak dalam menghadapi kenaikan harga yang dijangka berlaku.

Beliau turut menggalakkan isi rumah mengamalkan penanaman sendiri secara hidroponik melibatkan sayuran seperti bayam, kangkung dan sawi sebagai langkah mengurangkan kos sara hidup.

“Pengguna mempunyai kuasa untuk mempengaruhi harga. Dengan membuat pilihan bijak dan membandingkan harga, peniaga tidak mempunyai pilihan selain menurunkan harga,” katanya.

Pada masa sama, cuaca panas melampau di dalam negara turut memburukkan keadaan apabila menjejaskan hasil pertanian tempatan.

Beberapa kawasan luar jelapang padi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dilaporkan mengalami penurunan hasil akibat kekurangan sistem pengairan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini meramalkan gelombang haba dengan suhu harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius di beberapa kawasan, khususnya di utara Semenanjung.

Laporan tempatan turut menyatakan petani, nelayan dan penduduk di Kedah serta Perlis mula menyuarakan kebimbangan apabila paras sungai dan sumber air semakin menyusut, sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran makanan negara.

Artikel oleh: Suara Merdeka

HARGA SAYUR DIJANGKA MELONJAK HINGGA 50% MINGGU DEPAN

https://suaramerdeka.com.my/harga-sayur-dijangka-melonjak-hingga-50-minggu-depan/