Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PODCAST PPIM | ISU BANTAHAN TERHADAP PROJEK LADANG BABI DI SELANGOR – PPIM – 14/05/2026
14 May 2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius cadangan pembinaan ladang babi berskala besar seluas kira-kira 500 ekar di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang dikhuatiri mampu mengancam keselamatan sumber air, alam sekitar serta kesejahteraan rakyat di negeri Selangor.

Perkara ini dibincangkan dalam sebuah podcast yang menampilkan Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan@toqqi, Aktivis NGO Negarawati merangkap wakil penduduk Bukit Tagar, Puan Shahida, serta aktivis Melayu, Tuan Syed Hassan Ali yang bersama-sama menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap projek tersebut.

PPIM menegaskan bahawa kawasan terbabit berada berhampiran kawasan tadahan air Sungai Selangor yang menjadi sumber utama bekalan air kepada jutaan rakyat di Selangor termasuk kawasan Shah Alam, Klang dan Lembah Klang. Sebarang risiko pencemaran akibat aktiviti penternakan berskala besar ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan awam serta kelestarian alam sekitar untuk jangka masa panjang.

PPIM juga mengambil kira kebimbangan rakyat berdasarkan sejarah hitam tragedi wabak virus Nipah di Bukit Pelanduk yang pernah meragut nyawa dan memberi kesan besar kepada negara suatu ketika dahulu. Risiko seperti ini tidak boleh dipandang ringan demi menjaga kepentingan generasi akan datang.

Dalam masa sama, PPIM menegaskan bahawa titah Sultan Selangor yang menolak pembinaan ladang babi baharu di negeri ini wajib dihormati oleh semua pihak. Sebarang usaha mempertikai, membelakangi atau mencari jalan untuk meneruskan projek tersebut adalah tindakan yang tidak wajar serta boleh dilihat sebagai mencabar institusi diraja.

PPIM turut melahirkan rasa kecewa terhadap segelintir pihak yang dilihat lebih mengutamakan kepentingan golongan tertentu berbanding kepentingan rakyat dan alam sekitar. Isu melibatkan pencemaran, keselamatan sumber air serta kesan sosial kepada masyarakat tidak boleh dipandang enteng hanya demi keuntungan ekonomi pihak tertentu.

Sehubungan itu, PPIM menyeru seluruh rakyat agar bersatu mempertahankan kedaulatan institusi raja, keselamatan alam sekitar dan hak rakyat untuk menikmati sumber air yang bersih serta persekitaran yang selamat. PPIM juga menyokong usaha rakyat yang mahu melihat projek ini dibatalkan secara rasmi dan muktamad demi kepentingan awam.

“Air adalah hak rakyat. Alam sekitar bukan untuk diperdagangkan. Jangan gadai masa depan generasi akan datang demi kepentingan sementara.”