Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENGESAHAN UMUR MEDIA SOSIAL LANGKAH WAJAR LINDUNGI PENGGUNA BAWAH UMUR – PPIM – BULETIN TV3 – 02/06/2026
04 Jun 2026

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan syarat pengesahan umur bagi membuka akaun media sosial yang berkuat kuasa semalam disambut baik Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

PPIM dalam kenyataan berkata, usaha itu merupakan langkah ke hadapan negara dalam memperkukuh keselamatan pengguna platform digital.

“PPIM berpandangan bahawa pendekatan mewajibkan pengesahan identiti serta mengehadkan akses kepada pengguna bawah 16 tahun adalah langkah yang wajar dalam usaha mengurangkan risiko seperti penipuan dalam talian, gangguan
siber dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai.

“Dalam konteks semasa, di mana kes jenayah siber dan manipulasi digital semakin meningkat, langkah ini dilihat sebagai usaha dasar yang lebih tersusun bagi mengimbangi antara akses teknologi dan perlindungan pengguna, khususnya
golongan muda,” kata kenyataan itu.

Selain itu, PPIM juga melihat pengenalan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) sebagai satu perkembangan positif ke arah meningkatkan kebertanggungjawaban penyedia platform digital, termasuk dari
aspek kawalan kandungan dan keselamatan sistem.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut menggesa semua penyedia platform media sosial agar mengambil tindakan proaktif untuk memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan di bawah CPC dan RMC, termasuk mempercepat pelaksanaan sistem pengesahan umur serta memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna.

“PPIM turut menekankan kepentingan keterjaminan dan keselamatan data peribadi dalam pelaksanaan ini, dan berharap ia dilaksanakan dengan standard perlindungan yang tinggi.

“PPIM juga menegaskan bahawa perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk pendidikan, pemantauan berterusan dan kerjasama semua pihak,” tambahnya.

Semalam, Malaysia menguatkuasakan syarat pengesahan umur untuk pendaftaran dan pembukaan akaun media sosial bagi memastikan individu di bawah umur 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial.

Menerusi peraturan baharu itu, pengguna yang ingin mendaftar akaun diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur.

Keperluan pengesahan umur berkenaan terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.

Artikel oleh: Buletin TV3

PENGESAHAN UMUR MEDIA SOSIAL LANGKAH WAJAR LINDUNGI PENGGUNA BAWAH UMUR

https://www.buletintv3.my/nasional/pengesahan-umur-media-sosial-langkah-wajar-lindungi-pengguna-bawah-umur-ppim/