Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
LANGKAH PENGESAHAN UMUR PENGGUNA MEDIA SOSIAL WAJAR DEMI KESELAMATAN DIGITAL: PPIM – SCOOP – 02/06/2026
04 Jun 2026

KUALA LUMPUR — Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong penuh langkah tegas kerajaan mewajibkan pengesahan identiti dan menyekat akses media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, menyifatkannya sebagai tindakan tepat untuk membendung jenayah siber.

Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha tersusun dalam mengimbangi kebebasan akses teknologi dengan perlindungan pengguna muda daripada ancaman penipuan dalam talian, gangguan siber, serta pendedahan kepada kandungan tidak bermoral yang kian meningkat.

Menerusi satu kenyataan hari ini, PPIM menyambut baik penguatkuasaan syarat pengesahan umur bagi pembukaan akaun media sosial yang mula berkuat kuasa semalam, dan menganggapnya sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperkukuh ekosistem keselamatan digital negara.

Saring gergasi media sosial

Bermula semalam, Malaysia secara rasmi mewajibkan setiap pengguna baharu mengemukakan dokumen pengenalan rasmi seperti MyKad, pasport, atau MyDigital ID untuk pengesahan umur sebelum dibenarkan mendaftar akaun. Peraturan ketat ini terpakai di semua platform utama termasuk Facebook, Instagram, TikTok, dan YouTube.

Penguatkuasaan ini digerakkan menerusi pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Menurut PPIM, pendekatan tersebut merupakan perkembangan positif yang secara langsung meletakkan kebertanggungjawaban lebih tinggi kepada penyedia platform digital, khususnya dalam aspek kawalan kandungan dan keselamatan sistem mereka.

Jaminan keselamatan data peribadi

Sehubungan itu, PPIM menggesa gergasi media sosial terbabit untuk mengambil tindakan proaktif bagi memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan CPC dan RMC, termasuk menyegerakan integrasi sistem pengesahan umur yang efektif.

Bagaimanapun, persatuan itu turut mengingatkan kerajaan dan penyedia platform agar tidak memandang remeh aspek kerahsiaan maklumat pengguna sepanjang proses ini berjalan.

“PPIM menekankan kepentingan keterjaminan dan keselamatan data peribadi dalam pelaksanaan ini, dan berharap ia dilaksanakan dengan standard perlindungan yang tinggi. Kami akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa demi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.

Sambil menegaskan bahawa perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk pendidikan dan pemantauan berterusan, PPIM berharap dasar baharu ini dapat dilaksanakan secara telus, praktikal, serta memberi impak positif yang nyata kepada masyarakat.TAG: PPIM, pengesahan umur, media sosial, CPC, RMC, ONSA. – 2 Jun, 2026

Artikel oleh: Scoop

LANGKAH PENGESAHAN UMUR PENGGUNA MEDIA SOSIAL WAJAR DEMI KESELAMATAN DIGITAL: PPIM

https://www.scoop.my/berita/290647/langkah-pengesahan-umur-pengguna-media-sosial-wajar-demi-keselamatan-digital-ppim/