Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENGENDALI MEDIA SOSIAL MASIH GAGAL PATUHI GARIS PANDUAN – UTUSAN MALAYSIA – 03/06/2026
05 Jun 2026

PETALING JAYA: Peraturan lara­ngan kanak-kanak bawah 16 ta­hun membuka akaun media sosial yang berkuat kuasa kel­ma­rin masih tidak dipatuhi se­penuhnya oleh pengendali per­khidmatan itu.

Siasatan Utusan Malaysia men­­dapati, orang ramai terma­suk remaja bawah umur masih bebas membuka akaun baharu tanpa perlu menyediakan do­kumen sepatutnya bagi me­nge­sah­kan had umur dibenarkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).

Antara akaun media sosial yang masih membenarkan akses kepada pengguna di bawah umur 16 tahun adalah Instagram, Facebook dan Threads yang mana aplikasi-aplikasi ini dikendalikan oleh Meta Platforms.

Siasatan mendapati, proses pendaftaran akaun baharu media sosial hanya memerlukan nombor telefon tanpa meka­nisme pengesahan identiti atau umur yang lebih kukuh sebagaimana ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Di bawah ONSA, MCMC memperkenalkan dua kod ia­itu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) bertujuan memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta mengurangkan risiko kandungan memudaratkan.

Dalam pada itu, aplikasi se­perti TikTok secara jelas melarang pendaftaran bagi kumpulan umur yang sama.

Bagaimanapun, kelompo­ngan sistem pendaftaran sedia ada membolehkan pengguna bawah umur 16 tahun memanipulasi maklumat dengan menipu umur sebenar mereka.

Taktik memalsukan tarikh lahir membolehkan golongan remaja bawah umur memintas sekatan umur dengan cukup mudah dan terdedah kepada pelbagai bahaya tanpa tapisan.

Sesetengah remaja ada yang menggunakan alamat e-mel ibu bapa mereka untuk mendaftar akaun peribadi mereka sama ada dengan pengetahuan ataupun tanpa pengetahuan penjaga.

Keadaan ini mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak terhadap keselamatan dalam talian kanak-kanak yang dilihat masih berisiko terdedah kepada interaksi dengan individu tidak dikenali.

Sekatan umur semata-mata tidak mencukupi sekiranya tidak disokong dengan meka­nisme pengesahan identiti yang lebih ketat dan menyeluruh.

Dalam pada itu, warga maya turut menyuarakan kebimba­ngan mengenai keselamatan data peribadi mereka susulan penguatkuasaan akta berke­naan.

Seorang netizen menggunakan nama parjo_cx menyuarakan kebimbangannya terhadap risiko kebocoran maklumat di pihak penyedia media sosial.

“Nak kena verify identity (sahkan identiti). Satu segi ia bagus, budak-budak bawah 16 tahun tak boleh guna. Tapi satu sudut lain, kita kena kongsi ID rasmi (kad pengenalan/pasport) dengan pihak penyedia media sosial. Bimbang berlaku kebocoran dan salah guna pihak ketiga, sama macam yang berlaku dengan Discord,” katanya.

Pengguna aplikasi Threads, heyitsmeafaf pula menyuarakan kebimbangan penggunaan akaun milik ibu bapa dan penjaga oleh remaja bawah umur.

“Ada yang buka akaun media sosial guna e-mel mak ayah… ada yang mak ayah tahu, ada yang buka diam-diam,” tulisnya di platform tersebut.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua penyedia platform media sosial agar mengambil tindakan proaktif untuk memastikan pematuhan penuh terhadap keperluan di bawah CPC dan RMC.

Ia termasuk mempercepatkan pelaksanaan sistem pengesahan umur serta memperkukuh mekanisme keselamatan pengguna.

“PPIM turut menekankan kepentingan keterjaminan dan keselamatan data peribadi da­lam pelaksanaan ini, dan berharap ia dilaksanakan dengan standard perlindungan yang tinggi. PPIM akan terus memantau perkara ini dari semasa ke semasa demi memastikan hak pengguna sentiasa terpelihara.

“PPIM juga menegaskan bahawa perlindungan pengguna memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk pendidikan, pemantauan berterusan dan kerjasama semua Pihak,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, PPIM berharap pelaksanaan dasar dapat dilaksanakan secara telus, praktikal serta benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat. 

Artikel oleh: Utusan Malaysia

PENGENDALI MEDIA SOSIAL MASIH GAGAL PATUHI GARIS PANDUAN 

https://www.utusan.com.my/berita/2026/06/pengendali-media-sosial-masih-gagal-patuhi-garis-panduan/