2392) FREE MALAYSIA TODAY – 4/12/15 – JURURAWAT DIBUANG KERJA KERANA BERPAKAIAN MENUTUP AURAT
05 Dec 2015
Naziah kesal dengan alasan yang diberikan oleh pihak
hospital yang mengaitkan baju lengan panjangnya berkemungkinan boleh
menyebabkan jangkitan kuman dan merebak kepada pesakit walaupun larangan
seumpama itu tidak dibuat di hospital kerajaan.
KUALA LUMPUR: Seorang jururawat hospital swasta di Lembah
Klang mendakwa dia dibuang kerja kerana berpakaian menutup aurat semasa
bertugas.
Jururawat berkenaan, Naziah Sauni Samat 24, berkata, dia
tidak dibenarkan memakai pakaian seragam berlengan panjang ketika menjalankan
tugas, sebaliknya diarahkan supaya memakai baju berlengan pendek oleh pihak
hospital berkenaan.
“Saya percaya itu hak saya untuk pakai baju lengan panjang,
tetapi pengurusan hospital mengarahkan saya supaya memotong baju berkenaan
berkali-kali.
“Satu hospital pesan saya suruh potong lengan panjang baju
menjadi lengan pendek.
“Sehinggakan saya akhirnya dibuang kerja (dengan alasan
mengingkari arahan pengurusan),
sedangkan sewaktu menerima tawaran kerja tidak
dinyatakan untuk berbuat demikian,” katanya dalam sidang media Pejabat
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Naziah kesal dengan alasan yang diberikan
oleh pihak hospital yang mengaitkan baju lengan panjangnya berkemungkinan boleh
menyebabkan jangkitan kuman dan merebak kepada pesakit walaupun larangan
seumpama itu tidak dibuat di hospital kerajaan.
“Kalau nak dikira, hospital kerajaan seperti Hospital Kuala
Lumpur membenarkan jururawat mereka berlengan panjang.
“Kalau nak cakap mengenai mengawal jangkitan kuman, pakaian,
topi dan tali leher pun boleh kena jangkitan. Saya kalau buat kerja akan lipat
lengan baju,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya terkilan dengan tindakan hospital
swasta tersebut malah mengutuk sekeras-kerasnya pemecatan itu.
“Kita rasa terkilan dengan institusi seperti ini. Dalam
konteks perlembagaan kita (Islam, ikut cara Islam tapi kalau kita di United
Kingdom, kita kena ikut cara sana, kita ikut perlembagaan) tempat itu,”
katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia tampil menjelaskan perkara
ini kerana ia melibatkan pekerja beragama Islam.
Post Views: 269