Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
CUKUP-CUKUP MEMANGSAKAN MANGSA!!! RAKYAT KECEWA MENGAPA MANGSA SCAM MASIH GAGAL DILINDUNGI!!! – SIDANG MEDIA PPIM – 01/07/2026
01 Jul 2026

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes penipuan (scam) di negara ini yang disifatkan semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera daripada semua pihak.

Dalam sidang media Kempen Anti-Scam, PPIM menegaskan bahawa Malaysia berisiko menjadi destinasi pilihan sindiket penipuan antarabangsa sekiranya kelemahan dalam sistem penguatkuasaan, perbankan dan telekomunikasi tidak ditangani dengan tegas.

PPIM turut membangkitkan isu kelemahan kawal selia pendaftaran kad SIM serta sistem transaksi perbankan yang didakwa membuka ruang kepada sindiket scam memperdaya mangsa. Menurut PPIM, institusi kewangan dan syarikat telekomunikasi perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memperkukuh sistem keselamatan bagi melindungi pengguna.

Selain itu, PPIM melahirkan kebimbangan terhadap nasib individu yang menjadi “keldai akaun” (mule account), khususnya mereka yang diperdaya oleh sindiket penipuan. Ramai dalam kalangan mereka berdepan tindakan undang-undang dan kesukaran meneruskan kehidupan akibat rekod jenayah, sedangkan dalang sebenar masih sukar dibawa ke muka pengadilan.

PPIM turut menekankan bahawa kerugian akibat jenayah scam kini mencecah berbilion ringgit setiap tahun, sekali gus menunjukkan keperluan untuk memperkukuh undang-undang serta meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.

Sehubungan itu, PPIM menggesa kerajaan mengadakan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan bagi menambah baik sistem sedia ada, termasuk memberi tumpuan kepada usaha mengesan aliran wang, membanteras rangkaian sindiket dan membawa dalang utama ke muka pengadilan.

PPIM juga menyeru orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan dan tampil membuat aduan sekiranya menjadi mangsa, demi memastikan jenayah scam dapat dibanteras secara lebih berkesan.