


KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara menyeluruh pengurusan vaksin Covid-19.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, RCI penting bagi mengumpulkan semua maklumat dan aduan berkaitan vaksin dalam satu siasatan supaya gambaran lebih lengkap dapat diperoleh.
Beliau berkata, rakyat masih menunggu jawapan mengenai pelbagai persoalan berkaitan vaksin Covid-19, termasuk dakwaan kesan kesihatan selepas menerima suntikan.
“Rakyat berhak untuk mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, kebimbangan berkaitan kematian dan kesan sampingan yang dikaitkan dengan vaksin perlu dijelaskan berdasarkan data serta bukti yang lengkap.
Selain aspek keselamatan, Nadzim turut menggesa pengurusan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), termasuk penggunaan dana sepanjang pandemik, diteliti dan dipertanggungjawabkan.
Katanya, RCI juga perlu menentukan sama ada keputusan berkaitan vaksin dibuat berdasarkan maklumat dan kajian mencukupi, termasuk kajian jangka panjang mengenai kesan vaksin.
“Semua ini perlu dilaporkan secara teliti dan dipertanggungjawabkan kepada yang membuat keputusan,” katanya.
Beliau menegaskan, gesaan itu bukan bertujuan menjatuhkan kerajaan, sebaliknya memastikan rakyat mendapat pengetahuan dan jawapan yang jelas mengenai isu yang masih menimbulkan persoalan.
Nadzim berharap kerajaan mengambil serius gesaan tersebut dan memberi ruang untuk satu siasatan menyeluruh dijalankan bagi menjawab persoalan rakyat berkaitan pengurusan vaksin Covid-19.
Sebelum ini, pada tahun 2022, PPIM pernah menggesa kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan salah laku dalam pembelian vaksin Covid-19.
Menurutnya, pihak mereka menerima beberapa aduan berkaitan jumlah pembelian dan perbelanjaan untuk menangani pandemik itu yang secara keseluruhan mencecah RM600 bilion dan disifatkan sebagai sangat besar.
Artikel oleh: Utusan Malaysia
PPIM GESA KERAJAAN TUBUH RCI SIASAT PENGURUSAN VAKSIN COVID-19