

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua penyedia platform p-hailing di Malaysia memastikan tiada penghantar beragama Islam dikenakan sebarang bentuk penalti apabila menolak pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.
PPIM berpandangan isu ini perlu dilihat secara serius kerana ia bukan semata-mata persoalan teknikal mengenai penerimaan atau penolakan pesanan, tetapi melibatkan hak penghantar Muslim untuk mencari rezeki tanpa dipaksa memilih antara pendapatan dengan pegangan agama.
KADAR PENERIMAAN PESANAN TIDAK WAJAR JATUH
PPIM menerima dengan serius kebimbangan bahawa apabila seseorang penghantar menolak sesuatu pesanan, penolakan tersebut berpotensi memberi kesan kepada kadar penerimaan pesanan atau “acceptance rate” mereka bergantung kepada mekanisme yang digunakan oleh platform.
Sekiranya pesanan tersebut jelas melibatkan arak, khinzir atau barangan lain yang nyata tidak halal, penghantar Muslim sewajarnya diberikan ruang untuk menolak pesanan berkenaan tanpa penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan mereka jatuh.
PPIM menegaskan bahawa penolakan atas faktor agama juga tidak seharusnya menyebabkan penghantar kehilangan insentif, bonus atau keistimewaan tertentu, mengalami penurunan tahap prestasi, menerima kurang pesanan, kehilangan akses kepada slot atau zon tertentu, diberi amaran atau berdepan sekatan mahupun penggantungan akaun.
Menolak pesanan kerana mematuhi tuntutan agama tidak seharusnya dianggap sebagai kegagalan penghantar melaksanakan pekerjaan.
Jika penolakan tersebut menyebabkan kadar penerimaan pesanan jatuh dan seterusnya memberi kesan kepada peluang mendapatkan pesanan atau pendapatan, keadaan itu boleh mewujudkan suatu bentuk penalti algoritma yang mempunyai implikasi ekonomi kepada penghantar.
ALGORITMA TIDAK BOLEH MENGHUKUM PEKERJA KERANA PEGANGAN AGAMA
Ekonomi gig hari ini digerakkan oleh teknologi dan sistem automatik. Namun, teknologi mesti dibangunkan untuk memenuhi keperluan manusia, bukan menyebabkan manusia terpaksa mengetepikan pegangan agama semata-mata untuk mempertahankan mata pencarian.
PPIM berpandangan bahawa penyedia platform mempunyai keupayaan teknologi untuk membezakan antara penolakan pesanan biasa dengan penolakan yang dibuat atas alasan agama yang munasabah.
Oleh itu, alasan bahawa sistem secara automatik mengira setiap penolakan sebagai sebahagian daripada kadar penerimaan pesanan tidak lagi memadai sekiranya kesannya menyebabkan penghantar Muslim berada dalam keadaan terpaksa memilih antara agama dengan pendapatan.
PPIM CADANG MEKANISME PENGECUALIAN BERASASKAN AGAMA
PPIM menggesa semua penyedia platform p-hailing memperkenalkan satu mekanisme pengecualian berasaskan keperluan agama atau “religious exemption” dalam sistem masing-masing.
Melalui mekanisme tersebut, penghantar Muslim boleh memilih untuk tidak menerima kategori pesanan yang jelas melibatkan barangan tidak halal seperti arak dan khinzir.
Pesanan tersebut hendaklah dikecualikan daripada pengiraan kadar penerimaan pesanan, tanpa menjejaskan prestasi, insentif, akses kepada pesanan atau kedudukan penghantar dalam sistem.
Platform juga boleh membangunkan sistem yang mengagihkan pesanan berkenaan kepada penghantar lain yang bersedia menerimanya. Ini merupakan pendekatan yang lebih adil dan seimbang.
Hak pengguna bukan Islam untuk mendapatkan perkhidmatan tidak dinafikan, operasi platform tidak perlu dihentikan, manakala pegangan agama penghantar Muslim turut dihormati.
JAKIM PERLU MASUK CAMPUR, ISU HALAL SUDAH MEMASUKI EKONOMI DIGITAL
PPIM turut menggesa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberikan perhatian dan panduan yang jelas terhadap isu ini.
Perkembangan pesat ekonomi digital telah menyebabkan persoalan halal dan haram tidak lagi terhad kepada pengeluaran makanan, premis, ramuan atau pensijilan produk.
Ia kini turut menyentuh rantaian perkhidmatan digital termasuk penghantaran barangan kepada pengguna.
Justeru, PPIM mencadangkan JAKIM mengadakan libat urus bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), penyedia platform p-hailing, persatuan pekerja gig, wakil pengguna dan pihak berkepentingan bagi merangka satu garis panduan yang jelas dan praktikal.
Malaysia mempunyai ekosistem halal yang dihormati. Prinsip dan integriti tersebut sewajarnya berkembang seiring dengan perubahan teknologi serta bentuk pekerjaan baharu.
KESUMA PERLU TELITI DI BAWAH AKTA PEKERJA GIG 2025 [AKTA 872]
PPIM turut menggesa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) meneliti perkara ini dalam kerangka pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 [Akta 872].
Dalam ekonomi gig, kesan kepada seseorang pekerja tidak semestinya berlaku melalui penggantungan atau penamatan akaun sahaja.
Keputusan sistem dan algoritma mengenai penugasan perkhidmatan juga boleh mempunyai kesan langsung terhadap peluang seseorang penghantar memperoleh pendapatan.
Oleh itu, persoalan yang perlu diberikan perhatian ialah:
PPIM menggesa KESUMA memastikan perkembangan teknologi dan penggunaan sistem keputusan berautomasi oleh platform tidak mewujudkan bentuk diskriminasi atau penalti yang tidak adil kepada pekerja gig.
WUJUDKAN STANDARD NASIONAL
PPIM tidak mahu isu ini diselesaikan secara berasingan oleh setiap platform sehingga wujud standard perlindungan yang berbeza-beza.
PPIM mencadangkan satu standard Halal atau garis panduan nasional berdasarkan standard Halal Logistik MS2400 dibangunkan melalui kerjasama KESUMA, JAKIM, penyedia platform dan pihak berkepentingan.
Standard tersebut sekurang-kurangnya perlu memastikan bahawa:
JANGAN PAKSA MEREKA MEMILIH ANTARA REZEKI DAN AGAMA
PPIM menghormati kepelbagaian agama dan cara hidup masyarakat Malaysia serta hak pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan yang sah.
Namun pada masa yang sama, prinsip tersebut perlu diseimbangkan dengan penghormatan terhadap pegangan agama pekerja yang menyediakan perkhidmatan tersebut.
Penyelesaiannya bukan dengan menyekat hak pengguna. Penyelesaiannya ialah membangunkan sistem yang lebih pintar, adil dan inklusif.
Penghantar p-hailing keluar bekerja setiap hari untuk mencari rezeki bagi menyara diri dan keluarga. Mereka tidak seharusnya kehilangan pendapatan atau dihukum oleh sistem hanya kerana mahu memastikan sumber rezeki mereka selari dengan pegangan agama.
PPIM menyeru penyedia platform supaya mengambil tindakan proaktif tanpa menunggu isu ini menjadi pertikaian yang lebih besar.
Pada masa yang sama, JAKIM dan KESUMA perlu tampil memimpin penyelesaian melalui garis panduan dan kerangka perlindungan yang jelas.
“JANGAN HUKUM PENGHANTAR KERANA MEMPERTAHANKAN PEGANGAN AGAMA.”
Teknologi mesti menghormati manusia.
Algoritma mesti berlaku adil.
Pegangan agama mesti dihormati.
Dan mencari rezeki tidak seharusnya memaksa seseorang mengorbankan prinsip agamanya.
