


KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memandang serius peningkatan mendadak aduan orang awam berhubung bil elektrik yang didakwa melambung tinggi secara luar biasa sejak kebelakangan ini, terutama ketika rakyat masih berdepan tekanan kos sara hidup.
PPIM berkata, peningkatan beban kewangan akibat bil elektrik perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ia boleh memberi kesan kepada kemampuan isi rumah menguruskan perbelanjaan harian.
Untuk rekod, kenaikan Tarif Asas (RP4) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 di Semenanjung Malaysia mencatatkan peningkatan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen bagi setiap kilowatt-jam (kWh) bagi tempoh kawal selia 2025 hingga 2027.
Selain itu, Pelarasan Bahan Api Automatik (AFA) turut mengalami perubahan ketara, termasuk pelarasan kepada -0.47 sen/kWh menjelang April 2026 berbanding kadar rebat yang lebih tinggi sebelum ini.
Menurut PPIM, keadaan itu secara tidak langsung mengurangkan penjimatan subsidi yang dinikmati rakyat.PPIM turut membangkitkan kekeliruan dalam kalangan pengguna berkaitan mekanisme pengiraan bil, komponen caj yang dikenakan serta faktor yang menyebabkan berlaku lonjakan penggunaan elektrik.
“Faktor cuaca panas dan penggunaan peralatan elektrik seperti penyaman udara serta penapis udara turut dilihat boleh menyumbang kepada peningkatan penggunaan tenaga dalam sesebuah isi rumah,” katanya.
Menurut PPIM, pengguna tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pembayar bil, sebaliknya mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang telus, akaun yang adil serta pembelaan daripada pihak berkuasa sekiranya berdepan masalah berkaitan bil elektrik.
PPIM berpandangan bahawa lonjakan bil secara mendadak boleh memberi tekanan kepada isi rumah, justeru faktor sebenar yang mempengaruhi kemampuan pengguna perlu dinilai dengan lebih menyeluruh dan berempati.
Malah, PPIM menegaskan kategori pendapatan seperti M40 dan T20 tidak seharusnya dijadikan ukuran secara pukul rata tanpa mengambil kira realiti setiap isi rumah, termasuk saiz keluarga dan keperluan khusus yang ditanggung.
Menurut persatuan itu, keadaan cuaca yang semakin panas serta masalah jerebu menyebabkan sesetengah keluarga, khususnya yang mempunyai anak kecil dan warga emas, lebih bergantung kepada penyaman udara dan penapis udara bagi menjaga kesihatan serta kesejahteraan anggota keluarga.
Sehubungan itu, PPIM menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Kerajaan Malaysia memberikan penjelasan secara telus mengenai formula pengiraan tarif baharu, komponen caj yang dikenakan serta faktor yang menyumbang kepada peningkatan bil elektrik yang menjadi kebimbangan pengguna.
“Kami menggesa supaya pendekatan terhadap pengguna dalam kategori M40 dan T20 dikaji semula dari sudut keadilan sosial, khususnya bagi isi rumah yang mempunyai jumlah anggota keluarga yang besar serta keperluan mendesak terhadap peralatan kawalan iklim dan kesihatan akibat perubahan cuaca,” katanya lagi.
Dalam masa sama, PPIM mencadangkan supaya mekanisme bantuan yang lebih prihatin diwujudkan bagi pengguna yang tidak mampu menjelaskan bil elektrik secara sekaligus.
PPIM turut menggesa Kerajaan dan TNB menyediakan kaedah bayaran ansuran yang lebih fleksibel serta mudah diakses, selain mempertimbangkan moratorium atau penangguhan tindakan pemotongan bekalan elektrik terhadap pengguna yang sedang berdepan tekanan kewangan yang serius.
Menurut PPIM, bekalan elektrik adalah utiliti asas yang penting dalam kehidupan seharian dan sebarang pendekatan berkaitan pembayaran serta pemotongan bekalan perlu mengambil kira keadaan kewangan pengguna yang terjejas.
PPIM berkata, aspek kepentingan rakyat dan kemampuan pengguna perlu diberi perhatian seiring dengan pertimbangan ekonomi, agar golongan berpendapatan rendah serta pembayar bil tidak terus terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, pihak mereka akan terus memperjuangkan hak pengguna berdasarkan prinsip “Pengguna Berhak Tahu, Faham dan Mendapat Pembelaan!”.
Artikel oleh: MaxInfo
BIL ELEKTRIK MELONJAK, PPIM TUNTUT PENJELASAN TELUS TNB DAN KERAJAAN