Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM GESA MASYARAKAT TINGKAT KEWASPADAAN, ELAK TERJERAT SCAM – MALAYSIA TRIBUNE – 13/10/2026
17 Oct 2026

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, penjenayah kini menggunakan pelbagai pendekatan termasuk memanipulasi emosi dan psikologi untuk memperdaya mangsa tanpa mengira latar belakang.

“Orang ramai perlu memahami asas keselamatan digital serta membudayakan sikap berhati-hati ketika berurusan melalui telefon atau platform dalam talian.

“Hari ini, penjenayah scam tidak lagi memilih mangsa. Mereka bijak memanfaatkan kemajuan teknologi dan memanipulasi emosi serta psikologi rakyat untuk mencuri wang simpanan yang dikumpul bertahun-tahun.

“Hakikatnya, sesiapa sahaja boleh terperangkap sekiranya tidak mempunyai pengetahuan asas dan sifat waspada yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, usaha melindungi diri daripada penipuan perlu bermula sebelum seseorang mengalami kerugian, bukannya hanya mengambil tindakan selepas wang dipindahkan kepada pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita tidak boleh lagi mengamalkan sikap ‘sudah hantuk baru ngadah’. Jangan tunggu wang simpanan lesap dalam sekelip mata baru kita mahu belajar mempertahankan diri.

“Prinsip kita cukup mudah iaitu sedar, semak dan bertindak sebelum kena,” katanya.

Bagi mempertingkatkan kesedaran itu, PPIM dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menganjurkan Bengkel AntiScam Internet Selamat (BASIS) Siri 1.

Nadzim berkata, program berkenaan menyediakan pendedahan secara praktikal kepada peserta untuk mengenali taktik penipuan terkini, termasuk kaedah manipulasi psikologi yang digunakan penjenayah bagi mendapatkan kepercayaan mangsa.

Selain itu, peserta turut diperkenalkan kepada platform dan aplikasi semakan antiscam untuk menyemak nombor telefon serta akaun bank sebelum meneruskan sebarang transaksi kewangan.

Menurutnya, bengkel itu juga menekankan tindakan segera yang perlu dilakukan sekiranya seseorang menyedari dirinya menjadi mangsa, termasuk mendapatkan bantuan melalui saluran yang betul.

Beliau berkata, pengetahuan mengenai keselamatan digital bukan sahaja penting untuk melindungi kewangan dan diri sendiri, malah dapat membantu mengurangkan risiko ahli keluarga, rakan sekerja serta masyarakat sekeliling menjadi mangsa penipuan.

Sehubungan itu, PPIM menggalakkan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai program berkenaan bagi meningkatkan keupayaan mengenal pasti ancaman dan melindungi keselamatan kewangan masing-masing.

Artikel oleh: Malaysia Tribune

PPIM GESA MASYARAKAT TINGKAT KEWASPADAAN, ELAK TERJERAT SCAM

https://malaysiatribune.news/ppim-gesa-masyarakat-tingkat-kewaspadaan-elak-terjerat-scam/#google_vignette