


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa kadar kepatuhan pusat penyembelihan serta pemprosesan ayam negara disifatkan sangat minimum dan pihak berkuasa digesa untuk menyemaknya.
Setiausaha Kerja PPIM, Zharif Johor yang pernah terbabit dalam industri itu berkata, antara ketidakpatuhan pernah disaksikan olehnya adalah ada individu terbabit merokok dan tidak membaca ‘bismillah’ ketika mahu menyembelih ayam.
Katanya, cadangan dibuat pihak berkuasa sebelum ini untuk melaksanakan pusat penyembelihan ayam secara berpusat juga seharusnya disemak semula.
“Dulu pernah dicadangkan oleh pihak berkuasa untuk selaraskan semua penyembelihan dan diletakkan dalam satu pusat supaya pemantauan itu boleh dilakukan.
“Namun, ia dibantah oleh industri. Mungkin idea itu harus disemak semula kerana kita tak sanggup lagi makan bangkai ini. Sebagai orang Islam, kita ada kepatuhan. Kita tidak boleh lagi menerima masalah ini untuk ia berulang kembali,” katanya.
Terdahulu media melaporkan lebih 6.5 tan ayam mentah disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan pensijilan halal dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong, baru-baru ini.
Semalam dilaporkan, kilang diserbu polis kerana disyaki menyembelih ‘bangkai’ ayam untuk pasaran Lembah Klang, Jumaat lalu dipercayai mampu memproses 40,000 ekor ayam sehari.
Lebih mengejutkan, semua 12 pekerja kilang berkenaan adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak memiliki sebarang sijil perakuan bagi menyembelih haiwan.
Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pemilik kilang terbabit adalah seorang lelaki tempatan berusia awal 30-an.
Mengulas lanjut, Zharif berkata, pihak industri membantah pusat penyembelihan dan pemprosesan secara berpusat itu dilakukan disebabkan kos yang dikenakan kepada mereka itu tinggi.
“Contohnya kalau kita hantar ayam kepada pusat penyembelihan itu, kos penyembelihan akan dikenakan kira-kira RM1 seekor. Tapi kalau kita sembelih sendiri ayam itu, mungkin kosnya hanya 30 sen sahaja.
“Disebabkan itu ia dibantah secara meluas. Bila kos itu tinggi, mereka tidak boleh nak jual (ayam) kepada pasaran dengan harga yang rendah,” katanya.
Zharif berkata, kes yang terjadi Puchong itu juga seharusnya dijadikan pengajaran, di samping perlu adanya pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Kita perlu buat pemantauan. Ambillah kejadian ini sebagai satu keadaan untuk menyelesaikan masalah untuk beberapa tahun akan datang.
“Cukuplah, tak tahu berapa banyak bangkai kita sudah makan sebab ayam ini adalah makanan yang paling banyak kita ambil disebabkan ia sumber protein yang paling murah,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan seharusnya mengambil tindakan berani seperti melaksanakan pusat penyembelihan secara berpusat dengan ukuran tertentu.
Katanya, antara opsyen lain boleh dibuat adalah dengan mengiktiraf kilang tertentu dengan syarat ketat sahaja untuk melaksanakan penyembelihan ayam ini.
Artikel oleh: Harian Metro
PEKERJA TIDAK BACA ‘BISMILLAH’
https://www.hmetro.com.my/utama/2026/11/1430883/pekerja-tidak-baca-bismillah