2797) MYNEWSHUB – 4/8/2015 – KISAH BOIKOT PPIM, SUMBER DANA RAHSIA DAP
05 Aug 2015
ANTARA perkara paling ditakuti peniaga ialah apabila pelanggan bersatu hati memulaukan perniagaan mereka dalam jangka masa panjang kerana ia boleh melumpuhkan ekonomi malah mungkin jatuh muflis ‘gulung tikar’.
Isu boikot boleh terjadi akibat pelbagai faktor contohnya marah kekejaman rejim Zionis ke atas rakyat Palestin atau mungkin kes unsur babi yang kecoh melibatkan satu produk coklat jenama popular suatu ketika dulu.
Di Malaysia, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) antara organisasi bukan kerajaan yang terkenal lantang aktif melaksanakan pelbagai skim inisiatif pulau-memulau terhadap pihak yang dianggap sebagai penindas.
Tentu ramai masih lagi ingat bagaimana mereka berjaya melakukan kempen boikot produk keluaran syarikat Cina sehingga dianggap DAP konon agak berbaur rasis susulan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2013 lalu.
Ia gara-gara pengeluar produk terbabit dikenal pasti banyak memberi sumbangan besar kepada dana politik parti pembangkang cauvinis Cina iaitu DAP dalam menaja segala jentera kempen parti itu ketika PRU berkenaan.
Alasan PPIM cukup mudah: “Jika orang Melayu masih menyokong syarikat terbabit ia sama seperti bersetuju dengan dasar DAP yang memang jelas mahu hapuskan status hak istimewa bumiputera dan Islam di Malaysia.”
|
Tidak ramai umat Islam di Malaysia tahu hak mereka sebagai pengguna sering ditindak pihak antikerajaan dengan permainan manipulasi harga. – Gambar hiasan
Ketika itu, ramai pengguna Melayu menerima mesej menerusi media sosial sama ada Facebook atau Whatsapp daripada PPIM berhubung senarai nama produk keluaran syarikat yang diketahui amat ‘totok’ pro-DAP.
Ia menjadi fenomena pada waktu itu dan sebagai langkah tindak balas, DAP cuba menonjolkan dirinya konon berwajah Melayu dengan cuba mempromosikan ramai anak muda Melayu liberal menjadi lambang ikon parti.
Pada masa sama jentera perang saraf DAP yang berselindung dengan pelbagai akaun palsu menyebarkan dakyah jahat termasuk fitnah ke atas produk syarikat Melayu terkenal bagi memulaukan barangan Melayu sendiri.
Antara menjadi mangsa termasuklah roti keluaran Gardenia konon mengandungi bahan kimia berbahaya dan beras Faiza yang didakwa sebagai tiruan untuk hasut pengguna Melayu beralih kepada produk lawan mereka.
Malangnya ramai konsumer Melayu yang berfikiran liberal ‘termakan’ propaganda DAP dan akhirnya kempen boikot anjuran PPIM gagal, malah ditohmah DAP konon sebagai rasis tidak selaras semangat 1 Malaysia pula!
Hakikatnya, tidak ramai sedar senarai dibongkar PPIM itu mendedahkan nama-nama syarikat yang selama ini menyumbang derma jutaan ringgit kepada DAP untuk projek politik parti tersebut tetapi cuba senyap dirahsiakan.
|
Ketika DAP ‘bising’ bangkit kebencian rakyat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak konon terima wang RM2.6 bilion daripada jutawan Timur Tengah untuk tujuan politik, kisah mereka pula disimpan amat rapi.
Dalam senyap, tiada siapa tahu siapakah dalang beri dana secara rahsia kepada DAP selama ini hingga parti itu mampu berbelanja mewah tidak seperti digambarkan seolah-olah ia begitu daif miskin lemah hina buruk sangat.
Bagi rakyat Pulau Pinang sendiri, mereka dapat melihat bagaimana hebatnya DAP misalnya berjaya membina ibu pejabat baharu parti itu di George Town hanya selepas dua tahun memegang tampuk kuasa di negeri tersebut.
Padahal Gerakan yang pernah memerintah Pulau Mutiara sejak 1969 pun cuma memiliki bangunan parti sendiri di negeri berkenaan selepas hampir dua dekad dan itu pun masih lagi sebuah bangunan berbentuk biasa sahaja!
Sekali lagi, daripada manakah DAP dapat duit yang begitu banyak dan siapakah mereka itu yang bermurah hati menyokong DAP serta adakah mereka mendapat balasan kerajaan negeri Pulau Pinang sebagai ganjaran?
Inilah cuba disorok DAP dan sebab itulah parti tersebut adalah yang pertama menentang cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewajibkan badan politik mengisytiharkan sumber dana mereka.
|
Kempen boikot anjuran PPIM sering ditohmah DAP sebagai tidak menyokong gagasan perpaduan 1Malaysia kerana berbaur rasis. – Gambar hiasan
Alasan DAP amat remeh iaitu mereka tertakluk kepada permintaan penderma yang mahu nama dirahsiakan tetapi parti itu terlupa Malaysia ada Akta Perlindungan Data Peribadi bagi tujuan kepentingan maklumat tersebut.
Akta itu juga memastikan data setiap individu hanya boleh diakses bagi tujuan pihak berkuasa khasnya untuk saringan rekod butiran pesalah jika melibatkan aktiviti jenayah penggubahan wang haram yang disorokkan.
Adakah ini ditakuti DAP atau mereka sebenarnya bimbang orang Melayu bangkit boikot syarikat Cina terbabit jika terbongkar sebagai penderma rahsia dana politik parti itu yang selama ini pandai ‘berlakon’ baik di depan Najib.
Padahal sejak sekian lama syarikat terbabit diketahui berjaya ‘bermain’ manipulasi harga di pasaran sehingga mengakibatkan jualan menjadi mahal tanpa memansuhkan SST dan kemudian beri alasan ia disebabkan GST.
Jika itulah sebabnya, maka amatlah malang DAP rupa-rupanya bukanlah telus sangat kerana perkara sekecil inipun mereka sudah ‘kecut perut’ hanya kerana kepentingan diri sendiri terjejas. – MYNEWSHUB.CC/HAA
|
Post Views: 153