Hospital swasta di disaran supaya memberi perkhidmatan yang terbaik tanpa mengira kerakyatan bagi menjaga imej dan nama baik negara dimata dunia.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendakwa pihaknya menerima banyak aduan oleh pelancong dari seluruh negara terutama daripada pelancong Indonesia, Timur Tengah dan Bangladesh yang datang ke Malaysia untuk pelancongan perubatan.
“Setakat ini kami menerima lebih 50 aduan dari seluruh negara termasuk yang datang untuk pelancongan perubatan mengenai perkhidmatan hospital swasta di negara ini.
“Rata-rata mereka mengadu mengenai ketidakpuasan hati dengan perkhidmatan disediakan seperti kecuaian pihak hospital, caj mahal, rawatan yang tidak betul serta tersalah pembedahan,” katanya.
Menurutnya lagi, pihak hospital swasta juga turut mengenakan kos-kos tersembunyi yang hanya diketahui pesakit sewaktu proses pembayaran dilakukan.
“Sebagai contoh, pesakit yang menerima rawatan di hospital, setiap kali jururawat bertegur ‘Hai’ dan ‘Apa Khabar’ sahaja, ada yang dikenakan caj sehingga RM700 hingga RM1,000.
“Malah, ada doktor yang bercuti dan tidak merawat pesakit, tetapi apabila bil dikeluarkan seolah-olah doktor tersebut ada membuat rawatan terhadap pesakit dan hospital mengenakan caj ikut suka hati mereka,” Tegas beliau.
Dalam sidang media yang sama, ahli perniagaan Siti Marzairinah Osman, 51 menceritakan pengalamannya dan mendakwa dikenakan caj yang mahal semasa mendapatkan rawatan membuang ketumbuhan di hospital swasta di ibu negara..
“Tiga setengah tahun lepas, saya dimasukkan ke sebuah hospital swasta untuk membuang ketumbuhan dan saya terkejut kerana dikenakan caj RM300,000 untuk pembedahan yang kecil.
“Saya juga dinafikan hak untuk mendapatkan laporan perubatan saya. Saya meneliti bil, dan mendapati banyak yang tidak kena,” katanya.
Berikutan itu, Siti Marzairinah berkata, beliau terpaksa menjual hartanahnya bagi menjelaskan bil rawatannya itu.
“Saya kehilangan pekerjaan dan saya kini dalam proses menyaman hospital terbabit.
“Berdasarkan pengalaman, orang ramai perlu terlebih dahulu bertanya sebelum mendapatkan rawatan. Saya berharap orang ramai tidak akan menjadi mangsa seperti saya,” katanya.
Dalam pada itu, bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan hospital swasta, Nadzim menggesa kerajaan mencari kaedah yang sesuai untuk memulihkan persepsi dan mutu perkhidmatan hospital berkenaan.