2703) MALAYSIAN DIGEST – 22/06/15 – Harga Juadah Naik Pengguna Disaran Makan Setengah Biji Kuih – PPIM
23 Jun 2015
KUALA LUMPUR: Belum sampai seminggu umat Islam menjalani ibadah puasa, isu kenaikan harga barang khususnya berkaitan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan menjadi bualan hangat orang ramai.
Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Malaysia, Datuk Nadzim Johan menyatakan pihaknya menerima banyak aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga barang termasuk barang keperluan meskipun sepanjang bulan Ramadan.
Jelasnya, peniaga sengaja mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan menanggung beban Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk menaikkan harga barang dan makanan yang dijual.
“Memang kita menerima aduan mengenai kenaikan harga barang dan kita nampak juga kenaikan ini berpunca daripada permintaan tinggi sepanjang bulan Ramadan.
“Bagaimanapun, pengguna terperangkap dalam kenaikan harga ekoran peniaga mengambi kesempatan dengan menggunakan alasan GST meskipun barang tersebut tidak dikenakan cukai,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.
Ditanya mengenai dakwaan harga makanan yang dijual di bazar Ramadan mengalami kenaikan, beliau mengakui perkara berkenaan berlaku.
“Ini juga kerana kelemahan pengguna. Bagi pihak penguatkuasaan, mereka mampu lakukan tinjauan tetapi bergantung kepada pengguna untuk mengawal perbelanjaan mereka,” katanya.
Susulan itu, beliau menyarankan pengguna agar lebih bijak dan berjimat cermat dalam melakukan perbelanjaan selain menasihati penjual supaya tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga.
“Pengguna perlu berjimat. Kalau dulu makan sebiji kuih tetapi sekarang makan setengah biji kuih selain pengguna digalakkan memasak di rumah.
“Ini juga baik untuk kesihatan. Tidak rugi kalau kita kurang makan.
“Penjual pula tidak seharusnya menaikkan harga. Sebaliknya, lebih memfokuskan kepada kualiti atau mutu jualan,” ujarnya.
– mD
Post Views: 139