Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2655) SINAR HARIAN – 24/05/15 – GST: Peniaga Sekarang Tamak Haloba Kata PPIM
26 May 2015

SHAH ALAM – Persatuan Pengguna Islam Malaysia menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyebut peniaga hari ini mengeksploitasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) hingga menyebabkan rakyat terbeban.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Ma’amor Osman berkata, peniaga seperti ini perlu ‘diajar’ dengan membawa ke muka pengadilan untuk tindakan undang-undang.

“Saya setuju dengan kenyataan Perdana Menteri. Peniaga hari ini tamak dan ambil kesempatan. Inilah yang orang kata, orang lain makan nangka, orang lain yang kena getahnya.

“Tapi kerajaan ada penguat kuasa dan saya harap semua pihak bekerjasama dengan KPDNKK untuk membawa peniaga yang tamak haloba ini ke muka pengadilan. Saya percaya bahawa jika semua pihak faham bahawa GST ini satu tanggungjawab kita, kita akan bantu untuk memberi pembangunan untuk jangka masa panjang,” katanya kepada Sinar Online.

Semalam, Najib dalam ucapannya menyifatkan peniaga jahat dan mahu ‘titik’ orang ramai serta tidak bertanggungjawab namun kerajaan yang disalahkan.

Dalam pada itu, Dr Ma’amor berpendapat, kerajaan sepatutnya mempunyai senarai harga barangan sebelum pelaksanaan GST untuk perbandingan serta penetapan harga yang wajar untuk setiap barangan.

“Sepatutnya, kerajaan mempunyai ‘database’ senarai harga barangan sebelum implementasi GST. Kalau kita tahu harga contohnya roti canai RM1.80 sebelum ini, selepas ditolak SST (Cukai jualan dan perkhidmatan), mungkin tinggal RM1.60.

“Jadi, selepas GST tambah 6% mungkin RM1.70. Lebih rendah lagi harganya. Tapi sekarang dah jadi RM2.50. Saya rasa kerajaan tidak bersedia dengan datasbase sebelum ini. Database ini penting untuk pengguna rujuk dan peniaga tak berani ambil kesempatan,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan agar pengguna bijak memilih dan mengambil langkah berjimat cermat dengan membawa bekal dari rumah.

“Pengguna kena bijak memilih. Ataupun jika boleh bawalah bekal ke tempat kerja. Air pun boleh beli paket minuman segera yang banyak di pasaran.

“Sekali skala minum luar boleh tapi kalau selalu, bawalah bekal,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/gst-peniaga-sekarang-tamak-haloba-kata-ppim-1.393819