SHAH ALAM – Kesengsaraan mangsa banjir di sekitar Lembah Klang yang kehilangan harta benda membuatkan golongan tersebut kini menjadi sasaran sindiket ah long yang memasang jerat memberikan pinjaman.
Walaupun masih belum ada laporan rasmi dibuat, beberapa persatuan pengguna ada menerima maklumat daripada mangsa banjir bahawa mereka didekati konco-konco lintah darat tersebut yang turut turun padang kononnya mahu memberi bantuan.
Jika tersilap langkah, jerat yang dipasang pasti akan mengena lebih-lebih lagi proses penyaluran bantuan kewangan dan barangan lambat tiba kepada kumpulan sasar.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr. Jacob George berkata, dakwaan itu berasas apabila ada mangsa banjir mendakwa mula didekati ah long ketika memberi bantuan di Klang, Taman Sri Muda, Shah Alam dan TTDI Jaya baru-baru ini.
Katanya, selain bersemuka, sindiket turut menghubungi mangsa banjir dengan menyamar sebagai agensi tertentu.
“Ah long kini aktif kerana tahu ramai terdesak susulan rumah, kereta dan harta benda banyak rosak.
“Sekiranya bantuan lambat disalurkan, kita tidak nafikan golongan itu akan terus menjadi mangsa keadaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan sama ada terdapat mangsa yang telah menerima ‘bantuan’ tersebut.
Menurut Jacob, situasi tersebut adalah normal kerana mangsa ketika ini ingin meneruskan semula kehidupan, manakala ah long mahu mencari bisnes.
“Satu pasukan khas perlu ditubuhkan segera supaya tiada orang boleh mengambil kesempatan,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan turut mengakui menerima maklumat kehadiran ah long, namun tiada aduan rasmi dibuat.
Tegas beliau, sindiket ah long dan mereka yang mendakwa mengutip sumbangan bagi mangsa banjir sentiasa mencari peluang ketika ini.
“Orang (mangsa banjir) mana boleh tunggu sehari atau dua hari pun, mereka sudah hilang kesemuanya, jadi mohon bantuan disegerakan.
“Ramai sudah terdesak dan ah long pula yang kita tahu prosedur nya cepat dan mudah,” katanya.
Mengulas lanjut, Nadzim menegaskan pada ketika ini mangsa banjir tidak mengetahui sama ada orang yang mengunjungi mereka adalah benar ingin membantu atau sebaliknya.
“Kadang-kadang mangsa banjir tidak berdaya disebabkan sedih. Jadi, mereka akan tandatangan sahaja bagi mendapatkan wang tanpa sedar itu adalah ah long.
“Justeru, pihak penguat kuasa perlu lebih giat memantau sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan-kawasan yang kini dalam pasca banjir,” jelasnya.
Artikel oleh: Kosmo
AH LONG SASAR MANGSA BANJIR
https://www.kosmo.com.my/2021/12/27/ah-long-sasar-mangsa-banjir/